Ini Kisah Legenda Urban Jepun Kuchisake-Onna

“Saya cantik atau tidak?” Apakah reaksi anda sekiranya menerima soalan berkenaan daripada seorang wanita yang tidak dikenali? Wanita yang lebih terkenal sebagai Kuchisake-onna ini juga bukanlah satu nama asing buat masyarakat Jepun.

Untuk pengetahuan anda, Kuchi dalam bahasa Jepun ialah mulut manakala sake pula membawa maksud terbelah atau terkoyak dan onna ialah perempuan.

Secara ringkasnya, Kuchisake-onna ialah seorang wanita yang memakai pelitup muka untuk menutup mulutnya yang koyak dan turut memakai kot merah.

Hal ini demikian kerana dia mahu menyembunyikan kesan percikan darah pada bajunya. Kami akan kongsikan pelbagai versi tentang siapakah sebenarnya Kuchisake-onna menerusi artikel ini:

Siapakah Kuchisake-onna? 

Gambar di atas hanya sekadar hiasan

Salah satu kisah wanita urban legend ini ialah Kuchisake-onna merupakan seorang wanita yang membuat pembedahan plastik. Walau bagaimanapun, ia tidak berakhir dengan indah buat dirinya.

Kuchisake-onna dalam versi berbeza pula merupakan anak bongsu daripada tiga beradik. Kedua-dua kakaknya mempunyai pembedahan plastik yang berjaya tetapi ia berakhir sebaliknya buat Kuchisake-onna.

Walau bagaimanapun, ada juga yang mengatakan Kuchisake-onna telah mengoyakkan mulutnya sendiri secara tidak sengaja ketika berkebun.

Cara untuk larikan diri daripada Kuchisake-onna

Untuk pengetahuan anda, mangsa-mangsa wanita ini kebiasaannya terdiri daripada kanak-kanak. Dia juga dikatakan selalu muncul di lorong-lorong yang sunyi.

Wanita ini akan menghampiri individu yang berjalan seorang diri lalu bertanya, “Adakah saya cantik?” Sekiranya individu itu menjawab ya, Kuchisake-onna akan membuka topengnya untuk menunjukkan wajah sebenar dan bertanya kembali soalan yang sama.

Sekiranya anda masih menjawab ya, maka wajah anda akan kelihatan seperti Kuchisake-onna. Sekiranya individu itu menjawab tidak, dia akan meninggal dunia. Walau bagaimanapun, anda boleh melarikan diri daripada Kuchisake-onna dengan menjawab, “Awak kelihatan biasa-biasa sahaja.”

Anda juga boleh menggunakan alasan sudah terlambat untuk pergi ke satu tempat ataupun memberikan gula-gula untuk mengalihkan perhatiannya. Apa yang bakal anda lakukan sekiranya bertembung dengan Kuchisake-onna?

Penulis:

  • Nurliyana Mohamad Dzulkarnain adalah pelajar Fakulti Filem, Teater dan Animasi (FiTA) UiTM.
  • Prof Madya Dr. Mohd Syuhaidi Abu Bakar adalah Pensyarah Kanan dan Timbalan Dekan Penyelidikan dan Jaringan Industri (FiTA) UiTM.

Untuk membaca lebih banyak artikel berkaitan kisah legenda urban, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca