Ini Kisah Fenomena ‘Ditindih’ Ketika Tidur

Sering kali kita dengar kisah-kisah seram tentang ditindih ketika tidur. Ramai yang mengaitkan fenomena ini dengan unsur-unsur supernatural. Menurut nenek moyang yang terdahulu, mereka mengatakan fenomena itu adalah akibat daripada ditindih jin ketika tidur. Namun begitu, kita tidak usah khuatir kerana itu semua hanyalah mitos semata-mata.

Fenomena ‘ditindih’ ketika tidur ini dikenali sebagai sleep paralysis atau lumpuh ketika tidur. Fenomena ini berlaku disebabkan peralihan dua fasa iaitu fasa sedar dan fasa bawah sedar. Jadi, sleep paralysis atau lumpuh dalam tidur ini merupakan fasa antara kedua-dua fasa tersebut. Perkara ini juga berlaku akibat kawasan tertentu di dalam otak kita yang sedar dahulu daripada kawasan-kawasan yang lain.

Salah satu punca yang boleh mengakibatkan perkara ini mengganggu tidur anda adalah kerana terlalu stres dan kebimbangan yang tinggi. Selain itu, aktiviti tidur ketika waktu siang juga boleh menjadi punca gangguan tidur ini. Posisi tidur anda juga boleh menyebabkan gangguan tidur ini berlaku. Kajian mendapati bahawa kebanyakan orang yang tidur dalam posisi menelentang lebih cenderung untuk mengalami fenomena sleep paralysis atau lumpuh ketika tidur.

Jika anda pernah mengalami fenomena sleep paralysis atau lumpuh ketika tidur ini, pasti anda pernah ternampak perkara-perkara yang mengerikan jika anda cuba membuka mata. Jangan bimbang, kerana fenomena tidur ini juga menyebabkan kita berhalusinasi. Oleh itu, ketika kita sedar dalam fasa itu, kita akan berhalusinasi dengan ternampak perkara-perkara yang aneh dan mengerikan.

Sleep paralysis atau lumpuh ketika tidur ini akan menyebabkan anda berasa seakan-akan terperangkap di dalam badan sendiri ketika berada di dalam mimpi. Anda akan berasa seolah-olah tidak dapat mengawal tubuh sendiri, bergerak dan bercakap. Namun, terdapat caranya untuk kita kembali sedar daripada perkara mengerikan. Salah satunya adalah dengan jangan panik dan tenangkan diri anda. Selain itu, anda juga boleh menggoyang-goyangkan jari-jari kaki dengan perlahan-lahan.

Jadi, anda tidak perlu berasa risau dengan mitos-mitos yang disampaikan jika anda mengalami fenomena ini ketika tidur. Anda digalakkan untuk mengatur waktu tidur yang mencukupi bagi mengelakkan gangguan tidur ini daripada berlaku. Pastikan juga anda melakukan senaman dan makan makanan yang berkhasiat bagi mengurangkan stres.

Penulis:

  •  Nurliyana Binti Mohamad Dzulkarnain adalah pelajar Fakulti Filem, Teater dan Animasi (FiTA) UiTM.
  • Dr. Mohd Syuhaidi Abu Bakar adalah Pensyarah Kanan dan Timbalan Dekan Penyelidikan dan Jaringan Industri (FiTA) UiTM.

Untuk baca lebih banyak artikel berkenaan mistik, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Artikel Lain Untuk Di Baca