Bangtan Boys atau lebih dikenali sebagai BTS bukanlah sebuah nama yang asing lagi. Buat anda yang pernah mendengar karya mereka, setiap lagu yang ditulis dan dipersembahkan banyak membawa makna dan kisah tersendiri.
Walaupun begitu, adakah anda tahu bahawa salah satu lagu mereka yang bertajuk The Truth Untold mempunyai kisah yang dibawa dari negara Itali?

Untuk pengetahuan anda, terdapat sebuah kisah bernama La Città di smeraldo yang mengambil tempat di Itali pada tahun 1500-an sehingga 1600-an.
Dalam kisah tersebut, seorang lelaki bersembunyi di sebuah istana lama kerana dia percaya dirinya mempunyai wajah yang tidak menawan. Mana tidaknya, wajah lelaki itu juga menjadi punca dirinya hanya menerima layanan kejam daripada orang ramai sepanjang dia membesar.
Atas sebab itu, dia tidak pernah membuka hatinya kepada mana-mana orang. Setiap kali mereka cuba mendekatinya, dia akan menyembunyikan dirinya. Satu perkara yang membuat dirinya bahagia adalah menanam bunga di kebun.
Pada suatu hari, seorang wanita menghampiri istana lelaki berkenaan. Dia melompati pagar kebun tersebut dan mencuri bunga. Tipulah sekiranya lelaki itu tidak menjadi berang selepas mengetahui perkara tersebut.
Selepas insiden tersebut, lelaki berkenaan mula memerhati kebunnya sepanjang malam. Wanita itu sekali lagi mencuri bunga ketika lelaki itu tidur dan perkara ini berterusan selama beberapa malam.
Lelaki itu pun berpura-pura tertidur dan memerhatikan wanita itu mencuri bunga sekali lagi. Bermula dari situ, dia mula ingin tahu identiti wanita berkenaan. Tanpa sedar, lelaki itu terus menunggu wanita berkenaan untuk memetik bunga di kebunnya.
Selepas mengekori wanita tersebut, lelaki itu mendapati bahawa individu berkenaan menjual bunga yang dicuri untuk menyara kehidupannya.
Lelaki itu berasa kesian dan ingin menolong wanita tersebut. Namun, dia takut wanita itu tidak akan suka dengan penampilannya. Lelaki itu menganggap bahawa satu-satunya cara dia dapat membantu wanita tersebut adalah dengan membiarkan bunganya terus dicuri dari kebun berkenaan.
Lelaki itu memutuskan untuk mencipta bunga yang tidak wujud di dunia ini supaya wanita itu dapat menjualnya pada harga yang mahal. Selepas banyak percubaannya tidak membuahkan apa-apa hasil, lelaki itu akhirnya berjaya menghiasi kebunnya dengan beberapa kuntum bunga yang tidak wujud dalam dunia ini.

Wanita itu pula tidak datang ke kebunnya lagi. Tidak kira berapa lama dia menunggu, wanita itu masih tidak datang ke kebunnya. Hal ini membuat dia gelisah dan pergi ke tempat gadis itu menjual bunga. Dia akhirnya mendapat tahu bahawa wanita itu telah meninggal dunia.
Bunga yang ditanam oleh lelaki itu dikenali sebagai Smeraldo yang bermaksud emerald atau batu zamrud. Beberapa orang berkata bunga Smeraldo hanya muncul dalam cerita-cerita fiksyen dan legenda.
Sekiranya anda mahu tahu, bunga Smeraldo membawa maksud kejujuran yang tidak boleh diungkapkan dengan kata-kata. Bunga Smeraldo ini melambangkan kisah cinta yang berlaku antara dua insan pada sekitar abad ke-15 sehingga abad ke-16 di La Citta Di Smeraldo yang terletak di Itali Utara.
Kisah mereka bagaimanapun berakhir dengan kerinduan, kesedihan, dan kejujuran yang tidak mampu diungkapkan kepada orang lain. Ia membuatkan lelaki tersebut berfikir sama ada mereka akan mempunyai pengakhiran berbeza sekiranya dia lebih berani.
Apa-apa pun, BTS mengambil inspirasi daripada kisah berkenaan untuk menulis The Truth Untold. Anda boleh tonton video penuh di bawah.
Penulis:
- Nurul Syakira Asla Mohd Yosni adalah pelajar Fakulti Filem, Teater dan Animasi (FiTA) UiTM.
- Prof Madya Dr. Mohd Syuhaidi Abu Bakar adalah Pensyarah Kanan dan Timbalan Dekan Penyelidikan dan Jaringan Industri (FiTA) UiTM.
Untuk baca artikel-artikel berkaitan kisah lagu, anda boleh klik pada pautan di bawah: