Ini Kali Pertama Saintis Jumpa Ikan Tahan Nafas Dalam Air

Ikan ini mengembung seperti belon kerana mulutnya penuh dengan air.

Seperti kita, ikan turut perlukan oksigen bagi meneruskan hidup. Untuk bernafas, kebanyakan air yang membawa oksigen masuk ke dalam mulut ikan sebelum keluar semula melalui insang.

Baru-baru ini, portal Science melaporkan saintis telah menemui ikan yang ‘menahan’ nafas selama hampir 4 minit buat pertama kalinya.

Ikan spesies Chaunax endeavouri atau dikenali sebagai ‘Coffinfish’ ini ditemui dasar Lautan Pasifik. Para pengkaji memerhati aktiviti ikan ini menerusi kamera video yang dirakam oleh robot bawah laut kendalian pihak Pentadbiran Lautan dan Atmosfera Kebangsaan (NOAA).

Saintis mendapati ikan itu menampung kuantiti air yang banyak, tanpa tanda-tanda aktiviti pernafasan. Beberapa minit kemudian barulah air keluar semula daripada ikan tersebut sehingga tubuhnya sedikit leper.

Hal ini kerana ikan itu mempunyai insang yang besar sehingga boleh menyimpan banyak air.

Menerusi penelitian yang diterbitkan oleh Journal of Fish Biology ini, saintis berpendapat bahawa ikan itu menggelembung sebegitu rupa kerana mahu menjimatkan tenaganya untuk mengepam air.

Menurut penyelidik lagi, saiznya yang membesar itu mungkin satu amaran ‘jangan datang dekat dengan aku’ kepada si pemangsa.

Artikel Lain Untuk Di Baca