“Ini Bukan ‘Hoax'”, Mangsa Kejadian Nafi Dakwaan Syed Saddiq Tentang Rakaman Dirinya Dipukul Adalah Palsu

Pembaca di media pastinya dikejutkan dengan berita penyokong bola sepak Indonesia yang dipukul teruk oleh rakyat Malaysia sewaktu malam kejadian perlawanan pasukan Harimau Malaya dengan Garuda.

Video yang tersebar meluas itu bagaimanapun telah menerima maklum balas oleh Menteri Belia dan Sukan Malaysia iaitu Syed Saddiq.

Menerusi akaun Instagram, Syed Saddiq telah memuat naik pernyataan yang mengesahkan bahawa video berkenaan adalah palsu. Beliau juga menyeru kepada orang ramai khususnya warga Indonesia agar tidak percaya akan fitnah yang tersebar.

Bahkan, pihak Kementerian Pemuda dan Olahraga Republik Indonesia juga telah menyatakan dan mengesahkan bahawa video itu adalah palsu. Malahan, kejadian tersebut juga dilaporkan tidak berlaku di sekitar Stadium Nasional Bukit Jalil.

Walau bagaimanapun, difahamkan bahawa pihak berkuasa telah bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia untuk menjalankan siasatan lanjut. Menurut laporan The Reporter, mangsa yang terbabit dalam rakaman diminta oleh pihak berkuasa untuk membuat laporan polis bagi membantu siasatan.

https://www.instagram.com/p/B5K5IEsghPD/

Namun begitu, mangsa yang dikenali sebagai Yovan ini memberi maklum balas berkenaan respons yang telah diberikan oleh Syed Saddiq. Menerusi pernyataan mangsa, Yovan dilihat masih tetap dengan pendiriannya yang menegaskan bahawa kejadian yang berlaku itu adalah benar.

Jelasnya, dia merupakan salah seorang mangsa yang berada di Bukit Bintang pada malam perlawanan tersebut. Selain itu, Yovan turut meluahkan rasa sedih dan kecewanya setelah rakaman video berkenaan dinyatakan palsu.

“Ini adalah yang asli, bukan hoax,” katanya yang sudah pulang ke Indonesia sejak Rabu lalu.

Yovan juga menuntut Syed Saddiq untuk memohon maaf kepada Indonesia atas kejadian tersebut dan menegaskan dia sudah membuat laporan polis dan diberikan bantuan perubatan dengan beberapa rakyat Malaysia sewaktu malam kejadian.

Benarkah kenyataan yang dikeluarkan oleh Yovan? Apa-apa pun, semoga siasatan lanjut yang sedang dijalankan oleh pihak berkuasa segera menemukan jawapan agar perbalahan antara dua negara tidak berterusan.

Artikel Lain Untuk Di Baca