Ini Adalah 8 Pilihan Lagu Yang Boleh Naikkan Semangat Anda

Pemilihan lagu adalah sesuatu yang subjektif bagi setiap manusia di muka bumi ini. Tiada yang salah atau betul kerana kita perlu mengikut pendirian dan cita rasa kita sendiri.

Ada yang memilih lagu yang rancak bergenre Rock, EDM (Electronic Dance Music) atau Funk, manakala ada juga yang memilih lagu yang lebih melankolis dan tenang seperti genre Jazz, Blues atau Ballad. Tidak dinafikan lagi muzik dapat membantu seseorang itu dalam pembentukan mindset dan psikologi manusia dalam pelbagai cara sekalipun.

Tanpa mengira bahasa, penyanyi, mahupun genre, ini adalah lapan lagu yang dengan harapan dapat membantu menaikkan semangat anda. Jangan sedih, ambillah masa walaupun sedikit untuk menikmati sesuatu yang baharu dan lupakan apa yang melukai anda.

1. Don’t Stop Believin’ – Journey (1981)

Klasik! Siapa sahaja yang tidak pernah dengar lagu ini? Sesuai apabila anda merasa kehilangan kepercayaan diri untuk mengejar sesuatu impian yang anda rasa pudar dan kelam. Lagu ini membantu untuk anda cuba lagi, lagi dan lagi. Percaya yang anda boleh melaksanakan segala impian tersebut.

2. Drive – Incubus (1999)

Satu lagi lagu popular yang mungkin anda pernah dengar di corong-corong radio ataupun lagu kegemaran anda pada suatu masa dahulu. Menariknya lagu ini, ia menyoalkan tentang “What is your fear?” Apakah yang anda takuti? Mencari dan menerima ketakutan diri anda membantu mengenali siapa dan apa kelemahan anda supaya dapat membina semangat dan impian yang baharu.

3. Bangkit (2013) – DJ Fuzz ft. Altimet & Salam Lirik

Tajuk sahaja sudah terang lagi bersuluh. Lagu ini mengisahkan tentang kebangkitan seorang manusia daripada kelekaan dan tenggelamnya diri dari dunia fana. Bangkitlah walaupun anda disakiti, ditolak dan dijatuhkan. Kelukaan yang dialami akan sembuh suatu hari nanti.

4. Cuba Lagi (2010) – Malique ft. Lah

Tajuk mungkin agak klise, menyuruh anda mencuba lagi sampai anda berjaya akan tetapi, tidak kesemua boleh mencuba lagi, lagi dan lagi tanpa henti sehingga sampai di puncak yang hendak didaki. Kalau anda seorang yang hampir lari daripada mengejar apa yang anda inginkan, anda hanya perlu “Cuba Lagi”.

5. Paradise (2018) – BTS (방탄소년단)

Kadangkala kita terlalu mengejar impian, ada yang tiada hala tujuan di dalam hidup sehingga merasakan diri tidak mencukupi dan bahagia. Silapnya, kita hanya fikir yang kebahagiaan boleh dikecapi hanya dengan kemenangan dan pencapaian yang besar tetapi, Paradise ditulis supaya kita cuba menikmati dan mencari kebahagiaan pada setiap perkara dan situasi dalam hidup kita walaupun kecil. Mungkin perkara yang menggembirakan anda adalah bangun, makan dan tidur, itu pun sudah mencukupi.

6. Checkmate (2019) – Conan Gray

Lagu yang sesuai untuk anda yang sedang terluka akibat permainan perasaan daripada seseorang yang kita sayang. Checkmate ini kedengaran agak psikotik dan maniak kerana lirik lagu tersebut menyatakan kemahuan untuk membalas dendam terhadap orang yang mempunyai udang di sebalik batu tetapi jangan pula anda cuba untuk membalas dendam secara realiti. Dengar sahaja lagu ini.

Conan Gray menulis lagu ini untuk orang yang curang dalam perhubungan dan permainan perasaan. Dia mempercayai seseorang yang disakiti atau the victim akan mengetahui corak permainan dan memenangi dengan meninggalkan mereka.

7. Nevermind (2015) – BTS (방탄소년단)

BTS adalah kumpulan K-pop yang amat dikenali dengan lagu-lagu yang berani, memberikan semangat dan inspirasi dalam diri seseorang.

Nevermind ini ditulis untuk mengenali dan menerima apa yang kita takuti, sama seperti lagu di nombor dua akan tetapi, lagu ini adalah tentang ketakutan yang ada itu bukanlah satu titik noktah dalam kehidupan. Kita terlalu muda untuk berputus asa. Jangan peduli apa yang orang kata tentang impian dan cita-cita kerana hanya kita yang merasa susah dan senang mencapainya.

8. Here Comes the Sun (1969) – The Beatles

Legendary! Sebuah lagu dan juga band yang tak telan dek zaman. Here Comes the Sun adalah lagu yang berentak perlahan seiring dengan mesej yang hendak disampaikan di mana setiap pengorbanan, kesedihan, kepenatan akan berbayar jua. Walaupun lambat, kita sedia tahu progress untuk mencapai sesuatu impian itu lama dan memenatkan, akan tetapi progress tersebut sudah dibuat. Hanya perlu bersabar dan menunggu cahaya matahari kembali menyinar dalam kehidupan anda.

Kita sedia maklum tentang keadaan sekarang yang memerlukan kita untuk duduk dirumah daripada melakukan aktiviti harian. Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini juga menjejaskan mood, kebebasan dan perubahan ekonomi diri, keluarga dan juga negara demi menyelamatkan nyawa masing-masing dari jangkitan COVID-19.

Dengan harapan artikel ini dapat membantu anda yang kehilangan semangat dan berada dalam tekanan untuk terus berusaha dan bersabar dalam keadaan pandemik ini.

Penulis:

  • Nurinsyirah Affan Binti Mohamed Fannay adalah pelajar Fakulti Filem, Teater dan Animasi (FiTA) UiTM.
  • Dr. Mohd Syuhaidi Abu Bakar adalah Pensyarah Kanan dan Timbalan Dekan Penyelidikan dan Jaringan Industri (FiTA) UiTM.

Untuk baca lebih banyak artikel berkenaan muzik, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca