Ini Ada Pencuci Mulut ‘Istimewa’ Untuk Anda, Aiskrim Telur Buaya

Umum mengetahui buaya merupakan haiwan yang akan bedal apa saja (termasuk manusia) sehingga digelar sang bedal, namun pernahkah anda terfikir apa agaknya nasib reptilia ganas ini apabila dijadikan bahan makanan manusia pula?

Kedai Aiskrim Sweet Spot di Davao, Filipina ini menyajikan hidangan aiskrim perisa telur buaya kepada para pelanggan. Aiskrim ini menjadi perhatian ramai dan kaki makan yang adventurous pasti tidak melepaskan peluang bagi merasai sendiri manisan eksotik ini.

Tetapi pencinta haiwan tidak perlu risau kerana aiskrim ini tidak mengandungi daging buaya sebaliknya telur buaya yang tidak menetas dan dicampur bersama susu, krim, gula dan pelbagai bahan perisa seperti coklat, strawberi, pandan dan durian.

Mengikut laporan Fox News dan Daily Mail, kedai aiskrim ini terletak bersebelahan dengan Taman Buaya Davao dan memudahkan pemilik kedai ini iaitu Dino dan Bianca Ramos bagi mendapatkan bekalan telur buaya.

Sebelum ini, pakcik Dino iaitu pemilik taman buaya tersebut telah memberi beberapa biji telur buaya kepada mereka. Tidak tahu mahu buat apa dengan telur-telur tersebut, mereka bersepakat untuk cuba menggunakannya sebagai bahan pembuatan aiskrim. Selain aiskrim telur buaya, mereka turut menjual aiskrim telur burung unta perisa vanila.

Selain aiskrim telur buaya, ada lagi aiskrim pelik-pelik yang wujud di dunia ini. Antaranya adalah aiskrim susu ibu yang diberi nama Baby Gaga yang dijual di London. Manakala di Jepun pula ada jual aiskrim landak laut, ikan paus, kuda malah ular kapak pun ada!

Pasti I scream, you scream apabila melihat ice cream ini.

Artikel Lain Untuk Di Baca