Ini 9 Program Di Netflix Yang Anda Boleh Layan Sepanjang Tempoh PKP

Hari ini menandakan genap 11 hari kerajaan kuat kuasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Segelintir daripada anda mungkin sudah buntu memikirkan apa yang perlu dilakukan di rumah untuk menjadi lebih produktif sehingga 14 April ini.

Tidakkah anda rasa sekarang adalah masa terbaik untuk tonton ataupun rewatch semua program yang sudah lama berada dalam senarai tontonan tersebut? Buat anda yang masih keliru, kami kongsikan sembilan program daripada genre yang berbeza di Netflix untuk tontonan semua:

1. Crash Landing on You

Dibintangi oleh Hyun Bin dan Son Ye-jin, Crash Landing on You adalah kisah percintaan seorang wanita kaya dari Korea Selatan (Yoon Se-ri) yang mendarat tanpa sengaja di Korea Utara dan seorang tentera Korea Utara (Ri Jeong-hyuk).

Walaupun ia dikatakan mempunyai plot yang agak klise, namun episod terakhir drama ini berjaya raih rating tertinggi dalam sejarah stesen penyiaran tvN dan sekali gus memecahkan rekod yang dipegang oleh Goblin selama hampir tiga tahun.

Bilangan episod: 16

2. Kingdom 2

Sekuel kepada musim pertama, Putera Mahkota Lee Chang (Ju Jihoon) cuba mencari punca apa yang berlaku ke atas ayahandanya.

Walau bagaimanapun, satu gelombang epidemik misteri telah menghuru-harakan dinasti Joseon. Hal ini demikian kerana ketamakan keluarga Cho menjadi punca ramai penduduk dijangkiti wabak yang mengubah mereka menjadi zombi!

Bilangan episod: 6

3. Marriage Story

Dibintangi oleh Scarlett Johansson dan Adam Driver, filem pencalonan Oscars ini mengangkat isu perceraian yang berlaku di dalam sesebuah keluarga.

Namun, satu perkara yang pasti ialah filem ini bakal memberikan perspektif baharu kepada anda tentang istilah sebuah perkahwinan.

4. Vagabond

Dibintangi oleh Bae Suzy dan Lee Seunggi, Vagabond mengisahkan bagaimana Cha Dal-geon (Lee Seunggi) iaitu seorang pelagak ngeri mula menyiasat kes kemalangan pesawat yang mengorbankan ratusan penumpang termasuk anak saudaranya.

Walau bagaimanapun, Dal-geon dapat menghidu beberapa skandal korupsi dan konspirasi yang bersarang sepanjang proses tersebut.

Bilangan episod: 16

5. Dirty Money 2

Siri penyiasatan Dirty Money ini berkisar tentang skandal perbankan, skim hartanah dan bagaimana ketamakan korporat meletakkan orang awam dalam keadaan bahaya.

“Dirty Money akan membawakan pandangan yang lebih jelas mengenai kisah di sebalik skandal, salah laku kewangan dan korupsi dalam dunia perniagaan,” jelas Netflix seperti yang dilaporkan The Star.

Sementara itu, penampilan bekas Perdana Menteri Malaysia iaitu Datuk Seri Najib Razak dan Datin Seri Rosmah Mansor dalam musim kedua siri penyiasatan ini berjaya mencuri perhatian orang ramai.

Bilangan episod: 6

6. The Ghost Bride

Berlatarbelakangkan kota Melaka pada era 1890-an, The Ghost Bride mengisahkan bagaimana Li Lan (Huang Pei Jia) terpaksa berkahwin dengan Lim Tian Ching (Kuang Tian) iaitu anak lelaki kepada sebuah keluarga terhormat di Melaka untuk melangsaikan hutang keluarganya.

Namun, apa yang membuatkan drama ini lebih menarik adalah Li Lan sebenarnya dipaksa untuk berkahwin dengan hantu!

Pelbagai kejadian misteri yang berlaku kepada dirinya sepanjang dia cuba melarikan diri daripada situasi tersebut selepas gadis itu secara tidak sengaja terjerat dalam konflik dan konspirasi yang lebih besar daripada apa yang dia bayangkan.

Drama seram romantis gabungan bersama Malaysia dan Taiwan ini turut mengangkat budaya Peranakan Baba dan Nyonya ke persada dunia.

Bilangan episod: 6

7. Money Heist

Bakal memasuki musim keempat pada 3 April ini, Money Heist mengisahkan sekumpulan perompak bank yang diketuai oleh seorang individu digelar The Professor.

Penonton turut disajikan dengan peperangan di antara kumpulan perompak tersebut dengan pihak berkuasa pada penghujung bahagian ketiga.

Dalam pada itu, drama Sepanyol ini turut berjaya memukau penulis dan penerbit filem terkemuka dunia iaitu Stephen King. Sekiranya anda belum pernah lagi menonton series ini, sekarang adalah masa terbaik untuk mula menonton Money Heist!

Bilangan episod: 30

8. The Platform

The Platform mengisahkan tentang sebuah penjara yang mempunyai ratusan tingkat. Terdapat hanya dua orang sahaja dengan kemudahan asas pada setiap level atau sel.

Filem arahan Galder Gaztelu-Urrutia ini merupakan sebuah filem yang sarat dengan kritikan sosial terhadap masyarakat. Hierarki kehidupan di dunia sebenar digambarkan mengikut level dalam filem ini di mana siapa yang berada di atas merupakan insan yang bertuah dan di bawah pula adalah sebaliknya.

Apa-apa pun, anda pasti tidak akan menyesal sekiranya membuat keputusan untuk menonton filem ini! Review ini mungkin boleh membantu anda dalam membuat keputusan untuk mula menonton filem mind-blowing tersebut.

9. Signal

Dibintangi oleh Lee Je-hoon, Cho Jin-woong dan Kim Hye-soo, Signal mengisahkan seorang penganalisis jenayah dari tahun 2015, Park Hae-young (Lee Je-hoon) dan Lee Jae-han (Cho Jin-woong) yang saling berhubung dengan sebuah walkie talkie misteri merentas sempadan masa.

Jae-han dan Hae-young saling membantu untuk menyelesaikan pelbagai kes dan mengelakkan jenayah berlaku di suatu tempat menerusi alat tersebut.

Bilangan episod: 16

Selepas membaca artikel ini, jangan lupa untuk sediakan kotak tisu dan tonton semua program yang berjaya menarik perhatian anda. Selamat menonton!

Untuk membaca lebih banyak artikel berkaitan program menarik untuk ditonton sepanjang tempoh PKP, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Artikel Lain Untuk Di Baca