Ini 9 Inisiatif Diambil China Yang Membawa Kepada Penurunan Kes Jangkitan COVID-19 Secara Mendadak


Inisiatif yang kerajaan China ambil dalam mengekang penularan wabak koronavirus atau nama rasminya, COVID-19 sehingga angka kes jangkitan virus berkenaan di negara tersebut akhirnya dikawal boleh dilihat sebagai suatu kejayaan.

Meskipun wabak itu masih mencatatkan peningkatan di serata dunia, sebaliknya China berjaya membendung penularan itu daripada terus tersebar dalam kalangan rakyatnya.

Setakat ini, China mencatatkan sejumlah 81,029 kes iaitu dengan peningkatan sebanyak 22 kes sejak Sabtu.

Statistik menunjukkan angka tersebut jauh lebih kecil berbanding peningkatan dalam tempoh 24 jam di Britain iaitu dengan 208 kes baharu.

Berikut kami kongsikan bagaimana China berjaya menurunkan jumlah jangkitan secara mendadak.

1. Penutupan seluruh bandar

Salah satu kerja pembendungan yang diambil China bagi mengekang wabak itu daripada terus menular adalah dengan mengisytiharkan darurat ketat pada 23 Januari lalu di Wuhan serta 15 bandar lain di wilayah Hubei.

Pengisytiharan itu telah memberi kesan kepada kira-kira 56 juta penduduk di mana semua pintu pengangkutan awam (bas, kereta api, penerbangan dan feri), premis perniagaan, kilang-kilang, pejabat serta sekolah turut ditutup rapat.

2. Pembinaan dua buah hospital baharu

Kerajaan China juga telah membina dua buah hospital dalam masa dua minggu untuk menampung jumlah pesakit yang makin meningkat dari masa ke masa.

3. Makluman di media sosial

Pada masa yang sama, platform media sosial serta aplikasi mudah alih turut digunakan oleh pihak kerajaan untuk mengawasi pergerakan di kawasan yang dikategorikan mengikut warna iaitu hijau, kuning dan merah.

4. Proses nyahkuman yang kerap

Setiap jalan dan bangunan di China dibersihkan dengan penyemburan cecair pembasmi kuman. Malah, ia dilakukan dengan kekerapan yang maksimum.

5. Penggunaan cahaya UV

Memetik laporan Astro Awani, firma pengangkutan awam Yanggao telah mengubah kebuk pembersihan bas henti-hentinya kepada kebuk cahaya UV untuk tujuan nyahkuman pada rangkaian basnya. 

Sebelum ini, proses tersebut mengambil masa 40 minit sebelum ia ditambah baik sehingga hanya memerlukan tempoh lima minit sahaja bagi setiap bas.

6. Topeng muka diwajibkan

Semua rakyat di negara itu diwajibkan untuk memakai topeng muka sekiranya keluar dari rumah. Selain itu, bacaan suhu turut menjadi kewajipan sewaktu memasuki sesebuah bangunan.

7. Pergerakan dipantau

Antara inisiatif lain termasuklah rondaan oleh pihak penguat kuasa serta pemeriksaan keluar masuk terhadap mereka yang berkunjung ke sesebuah kawasan perumahan.

8. Penguatkuasaan ketat

Di samping itu, sistem penguatkuasaan tentera dan polis China juga turut diperketatkan di mana individu yang melanggar kesalahan di kala penularan wabak berkenaan akan ditahan dan dikurung.

9. Pesanan khidmat masyarakat 

Sebagai langkah pencegahan, pesanan khidmat masyarakat juga sering disebar luas kepada orang awam. Menerusi pesanan khidmat masyarakat itu, mereka digalakkan untuk mencuci tangan dengan lebih kerap dan mengurangkan perjalanan agar tidak membebankan penguat kuasa kesihatan.

Diharapkan agar negara-negara lain yang terlibat dalam penularan wabak COVID-19 boleh mengambil inisiatif-inisiatif di atas bagi mengelakkan ia daripada terus menular.

Untuk baca artikel lain berkenaan penularan wabak COVID-19, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca