Ini 8 Pengajaran Penting Yang Perlu Kita Ambil Daripada Wabak COVID-19

Di saat-saat genting dunia sedang menghadapi penularan wabak COVID-19, ramai yang kehidupannya terkesan dan sekali gus dapat mengubah dunia yang pada ketika ini sedang tenat daripada pelbagai aspek. Jika dilihat daripada sudut positif, penularan wabak ini dapat memberikan pengajaran penting kita.

Ini merupakan lapan pengajaran yang boleh kita ambil daripada wabak COVID-19.

1. Kesaksamaan

Kesan daripada wabak COVID-19 disebabkan novel coronavirus atau SARS-CoV-2 dapat mengingatkan kita bahawa kita semua adalah sama tanpa mengira budaya, agama, profesion , kekayaan atau reputasi yang ada.

Ini kerana tidak kiralah betapa banyak harta atau tingginya pangkat yang ada. Anda juga akan terdedah kepada penyakit berjangkit sama seperti mereka yang papa kedana.

Jadi, ini mungkin satu peringatan bagi kita untuk melayan semua orang dengan sama rata dan tiada beza.

2. Kesan individu kepada masyarakat

Sedar atau tidak, virus yang menyerang kita ketika ini membuktikan bahawa kita semua mempunyai kaitan yang sangat mendalam. Jika seseorang daripada kita dijangkiti virus ini, ia akan merebak kepada seorang demi seorang sehingga akhirnya kesemua daripada kita dijangkiti COVID-19.

Kesan terhadap seorang individu walau sekecil mana pun akhirnya dapat memberikan kesan ke tahap global. Ia juga mengingatkan kita bahawa walaupun kita sedang mengalami kesulitan, lebih ramai lagi orang akan berhadapan dengan masalah sepanjang hayat.

3. Kesihatan tidak ternilai

Ini mungkin merupakan pengajaran yang tidak ternilai dan dipelajari oleh semua orang ketika ini. Wabak pandemik COVID-19 telah mengingatkan kita bahawa kesihatan yang dikurniakan kepada kita dengan percuma ini adalah sangat tidak ternilai.

Antara golongan yang lebih cenderung untuk meninggal dunia adalah mereka yang mempunyai masalah kesihatan yang sedia ada seperti darah tinggi, penyakit jantung, buah pinggang dan lain-lain.

Mungkin sebelum ini kita tidak begitu mengendahkan penyakit-penyakit ini kerana walaupun ia berbahaya, tetapi masih boleh dikawal. Namun begitu, jika mereka ini dijangkiti berkemungkinan besar berisiko untuk terkorban adalah sangat tinggi.

Pengajaran yang boleh diambil adalah tidak kira sama ada wabak melanda kita atau tidak, kita dapat lihat dengan jelas bahawa kesihatan perlu menjadi perkara utama kerana tanpanya, kehidupan kita tidak bermakna.

Jika kita terus mengabaikan kesihatan, penyakit ini akhirnya boleh memerangkap kita semua.

4. Hidup ini sangat singkat

Daripada apa yang kita tahu, jangkitan COVID-19 sangat berbahaya. Ia juga mengingatkan kita bahawa hidup ini terlalu singkat. Jika hari ini kita bernafas dengan baik, namun jika dijangkiti SARS-CoV-2 ini, kita mungkin akan menghembuskan nafas selepas satu atau dua minggu.

Dalam ketika itu, saling membantu adalah sangat bermakna dan membantu warga semas serta para pesakit adalah apa yang kita harus lakukan.

Ketika wabak ini melanda, kita dapat melihat negara-negara saling membantu untuk membendung wabak ini dari terus menular.

5. Kehidupan materialistik

Wabak COVID-19 juga menyedarkan kita betapa materialistiknya masyarakat kita pada hari ini. Apabila masalah sebegini melanda kita semua, kita hanya memberikan perhatian kepada keperluan asas sahaja seperti air, makanan, ubat-ubatan malah kertas tisu.

Ini secara tidak langsung menunjukan bahawa segala barangan mewah dan duniawi yang sebahagian besar daripada kita kejarkan selama ini tidak lagi penting bagi kita.

Apa yang penting bagi semua golongan manusia tanpa mengira status hanyalah barang keperluan asas untuk meneruskan hidup.

6. Hubungan kekeluargaan

Jika kita tidak dibelenggu dengan wabak COVID-19 ini, mungkin kita tidak ingat tentang kepentingan bersama ahli keluarga.

Sebahagian besar daripada masyarakat dunia ketika ini berlumba-lumba mencari kekayaan sehinggakan terlupa perkara yang sangat penting iaitu keluarga.

Wabak ini juga mengingatkan kita betapa banyaknya masa yang telah kita bazirkan selama ini. Ia memaksa kita untuk pulang dan kekal di rumah untuk seketika, sekali gus menguatkan hubungan kekeluargaan yang selama ini entah ke mana.

7. Kerja bukanlah segala-galanya

Bagi sesetengah daripada kita, kerja adalah segala-galanya bagi mereka. Ada yang bekerja tujuh hari seminggu dan mendedikasikan hidup samata-mata kepada syarikat.

Wabak ini secara tidak langsung mengingatkan kita bahawa pekerjaan bukanlah segala-galanya. Kita sebenarnya kerja untuk hidup, dan bukannya hidup untuk bekerja.

Apa yang perlu dititikberatkan adalah kita perlu membantu, melindungi dan menyokong antara satu sama lain.

8. Kuasa kehendak berada di tangan kita

Apabila sesuatu masalah global berlaku, kita mempunyai pilihan individu. Kita boleh memilih sama ada untuk bekerjasama, menyokong, berkongsi, memberi dan membantu antara satu sama lain.

Namun begitu, kita juga boleh memilih untuk hanya mementingkan diri sendiri dan tidak mempedulikan orang lain.

Dan saat-saat genting inilah yang akan memperlihatkan siapa kita sebenarnya.

Penulis:

  • Nur Syuhada Binti Mohammad Yusof adalah pelajar Fakulti Filem, Teater dan Animasi (FiTA) UiTM.
  • Dr. Mohd Syuhaidi Abu Bakar adalah Pensyarah Kanan dan Timbalan Dekan Penyelidikan dan Jaringan Industri (FiTA) UiTM.

Untuk baca lebih banyak artikel berkenaan penularan wabak COVID-19, sila klik pada pautan di bawah:

Artikel Lain Untuk Di Baca