Ini 7 Negeri Yang Tidak Laksana Atau Tangguh PKPB

Pada 1 Mei lalu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah mengumumkan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di mana hampir kesemua sektor ekonomi akan mula dibuka bermula hari ini. Pelaksanaan PKPB ini diambil selepas negara kita berjaya memenuhi enam kriteria yang ditetapkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia atau WHO.

Antara sektor perniagaan yang dibenarkan beroperasi adalah makanan, sukan dan rekreasi, pengangkutan, pembuatan, peruncitan, minyak dan gas.

Walau bagaimanapun, tidak semua negeri yang menguatkuasakan PKPB kerana masing-masing ingin membendung penularan pandemik COVID-19 selain memastikan rakyat tidak terdedah dengan jangkitan tersebut.

Berikut kami kongsikan tujuh negeri yang menangguhkan dan tidak akan melaksanakan PKPB:

1. Kedah

Sumber: AsiaOne

Menteri Besar Kedah iaitu Datuk Seri Mukhriz Mahathir mengatakan bahawa kerajaan negeri akan meneliti syarat dan garis panduan PKPB yang diumum Kerajaan Persekutuan bagi memastikan ia sesuai mengikut keperluan negeri itu.

“Oleh itu pelaksanaan di bawah PKPB ditangguhkan di Kedah sehingga keputusan dicapai pada mesyuarat Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negeri (Khas COVID-19) pada 5 Mei ini,” kata beliau.

2. Sarawak

Sumber: The Star

Kerajaan Negeri Sarawak juga memutuskan untuk tidak menuruti langkah Kerajaan Persekutuan bagi membuka semula ekonomi pada hari ini.

Menurut Timbalan Ketua Menteri Sarawak merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) iaitu Datuk Amar Douglas Uggah Embas, kerajaan negeri perlu mengambil kira keadaan negeri terlebih dahulu sebelum membuat sebarang keputusan.

3. Sabah

Sumber: The Star

Ketua Menteri Sabah iaitu Datuk Seri Mohd Shafie Apdal pula mengatakan bahawa Negeri Di Bawah Bayu itu masih mengekalkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa keempat yang akan berakhir pada 12 Mei ini.

“Pendirian ini diambil bagi meneruskan usaha untuk membendung penularan pandemik COVID-19 dan memastikan rakyat tidak terdedah dengan jangkitan virus itu,” kata beliau.

4. Selangor

Sumber: Portal Kerajaan Negeri Selangor Darul Ehsan

Menurut Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, tidak semua industri akan dibenarkan beroperasi pada hari ini.

Difahamkan, beliau akan berbincang dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) tentang cara penguatkuasaan dan garis panduan yang perlu dilaksanakan bagi memastikan tidak berlaku peningkatan kes COVID-19 di negeri itu.

“Di peringkat kerajaan negeri, kita tidak mahu crash landing dengan erti kata lain, kita akan cuba melihat peringkat demi peringkat dan saya akan bertanya dan melihat kesiapsiagaan PBT,” ujar beliau.

5. Negeri Sembilan

Sumber: Astro Awani

Dalam pada itu, Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan iaitu Datuk Dr. Razali Ab Malik berkata, langkah kawalan ketat masih diperlukan memandangkan kes baharu COVID-19 terus dicatat di Negeri Sembilan.

Menurut beliau, memandangkan kes baharu COVID-19 di Negeri Sembilan masih berlaku dan untuk tujuan pengawalan, Kerajaan Negeri Sembilan menetapkan beberapa syarat dan peraturan.

“Hanya sektor ekonomi dibenarkan boleh beroperasi manakala sektor sosial dan aktiviti sukan tidak dibenarkan dalam tempoh PKPB,” kata beliau.

6. Pahang

Sumber: The Star

Kerajaan Negeri Pahang pula memilih untuk menangguhkan pelaksanaan PKPB sehingga keputusan dicapai pada mesyuarat mingguan Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negeri yang akan berlangsung pada Jumaat ini.

Menurut Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, sehingga keputusan dibuat pada mesyuarat mingguan ini, segala ketetapan yang dibuat pada PKP sekarang masih kekal.

“Seperti semua maklum, negeri Pahang kini mempunyai kluster baharu. Jadi, tumpuan khusus dan utama perlu dilakukan bagi menanganinya,” kata beliau menerusi satu kenyataan.

7. Kelantan

Sumber: Selangorkini

Jawatankuasa Kerja Keselamatan (Khas) Negeri Kelantan akan diadakan pada Khamis ini di mana ia bertujuan untuk menyesuaikan keperluan PKPB dengan rakyat di negeri tersebut.

Menurut Menteri Besar Kelantan iaitu Datuk Ahmad Yakob, sehingga keputusan diambil di dalam jawatankuasa tersebut, semua ketetapan (PKP) yang dibuat sebelum ini adalah masih terpakai dan perlu dipatuhi oleh semua pihak.

“Kemaslahatan rakyat adalah merupakan keutamaan Kerajaan Negeri Kelantan,” ujar beliau.

Apa-apa pun, seluruh team Lejen Digital mendoakan agar ekonomi negara pulih seperti sediakala dan rantaian wabak COVID-19 dapat diputuskan dalam masa terdekat. Ingat, kita masih lagi dalam medan perang. Jangan anggap seolah-olah kita sudah menang perang.

Untuk baca artikel-artikel lain berkenaan PKPB, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca