Ini 6 Kriteria Yang Perlu Dipenuhi Sebelum PKP Ditamatkan

Jika kita lihat kepada tahap penurunan kes positif baharu dalam minggu ini, pasti kita berasa senang hati dan tidak sabar ingin menamatkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dijadualkan tamat pada 28 April 2020.

Namun begitu, kita tidak boleh bertindak dengan drastik dan berasa selamat terlalu awal. Semalam, Ketua Pengarah Kesihatan Dr. Noor Hisham Abdullah menyatakan terdapat enam kriteria yang perlu dipenuhi sebelum kerajaan menamatkan PKP.

Empat kriteria yang penting adalah kawalan sempadan, kawalan pergerakan, sistem kesihatan dan perlindungan kumpulan berisiko tinggi.

Manakala, dua kriteria yang lain adalah berkenaan kerjasama rakyat yang perlu mengamalkan penjarakan sosial, kebersihan tangan dan mengelakkan diri daripada menyertai perhimpunan ramai.

“Kita sedang memantau data-data, belum buat sebarang keputusan PKP disambung atau tidak. Tapi apa yang pasti kita ada enam kriteria sebelum kita laksanakan untuk tamatkan PKP. 

Antara kriteria yang pertama, kita lihat pada kawalan sempadan. Kalau kita hentikan kawalan sempadan, maka ada kemungkinan besar mereka yang datang ke Malaysia akan bawa penyakit tersebut,” katanya.

Tambah beliau, amat penting untuk mempunyai kawalan sempadan bagi mengelakkan kes import merebak ke negara ini. Selain itu, untuk kriteria kedua, mereka akan cuba untuk elakkan jangkitan berlaku antara satu individu ke individu yang lain.

“Kalau kita duduk di rumah kebarangkalian kita untuk dijangkiti adalah kurang, tetapi kalau ada kesesakan, perhimpunan contohnya ada risiko untuk dijangkiti,” katanya.

Kriteria yang ketiga pula, sistem penjagaan kesihatan termasuk keupayaan makmal KKM untuk mengesan COVID-19 serta kemudahan seperti katil hospital dan unit rawatan rapi (ICU) perlu mencukupi untuk semua pesakit.

Menurut Dr. Noor Hisham, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) meletakkan standard antara 24 dan 48 jam untuk proses ujian pengesanan.

Seterusnya kriteria yang keempat, mereka perlu lindungi golongan yang berisiko tinggi seperti golongan berusia, golongan kelainan upaya (OKU), mereka yang memerlukan rawatan kemoterapi dan mereka yang menghidap dua penyakit atau lebih serentak.

Yang kelima pula, kerajaan perlu pastikan rakyat amalkan norma-norma yang baharu iaitu penjarakan sosial, sentiasa mencuci tangan dan elak daripada berhimpun.

Yang terakhir, pihak kerajaan perlu mengenal pasti kawasan dan dapatkan kerjasama dalam komuniti tersebut untuk lakukan pencegahan.

Walau bagaimanapun, rakyat dinasihati untuk sentiasa mematuhi perintah PKP sehingga tamat fasa ketiga ini dan membantu kerajaan dalam membendung COVID-19. Sekiranya semua rakyat bekerjasama pasti ada perubahan yang baik berlaku di negara kita ini.

Untuk membaca artikel lain berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca