Ini 6 Jenis Sayur Dan Buah Yang Kaya Dengan Vitamin C

Badan manusia tidak boleh menghasilkan vitamin C sendiri. Justeru itu, makanan yang tinggi vitamin C amat diperlukan bagi menampung keperluan anggota badan. Vitamin C atau asid askorbik ialah vitamin larut air yang diperlukan untuk proses fizikal dan biologi badan.

Vitamin C berperanan penting dalam penghasilan kolagen. Kolagen ialah protein yang memberi struktur kepada tulang, otot, rawan serta saluran darah. Selain itu, ia juga merupakan salah satu komponen enzim yang terlibat dalam penggabungan kolagen dan karnitina.

Tambahan lagi, Vitamin C boleh membantu penyerapan zat besi dan dikatakan boleh mencegah penyakit kronik dan kanser. Vitamin C adalah salah satu antioksidan yang berkebolehan untuk mengurang dan memburu radikal bebas atau spesies oksigen yang reaktif. Ia juga boleh menjana semula vitamin E.

Beberapa penyakit yang sering kali dihubungkaitkan dengan kekurangan vitamin C adalah penyakit anemia (kekurangan darah), jangkitan, gusi berdarah, luka sukar sembuh, skurvi, degenerasi otot, plak aterosklerotik, gangguan neurotik dan pendarahan kapilari. Justeru itu, kita digalakkan untuk makan makanan yang berkhasiat dan mempunyai vitamin yang tinggi untuk kesihatan dan kesejahteraan tubuh badan.

1. Brokoli

100 gram brokoli mengandungi 49 mg kandungan vitamin C, 3 gram serat, 23 kalori dan 1.76 gram protein. Vitamin C dalam brokoli sangat baik untuk mencegah kanser dan sebagai agen antioksida dalam tubuh.

2. Kubis

100 gram kubis mengandungi 92.6 mg vitamin C. Pengambilan kubis setiap hari boleh mencukupkan keperluan serat sekitar 5 gram, 50 kalori dan 3.76 gram protein.

3. Cili benggala hijau

50 gram cili benggala hijau mengandungi 56.5 gram kandungan vitamin C, 1.6 gram serat, 13 kalori dan 0.52 protein. Cili benggala hijau mempunyai kandungan nutiren yang sangat penting untuk menyokong kesihatan tubuh.

Maka dengan itu, hendaklah kita amalkan makan buah-buahan dan sayur-sayuran kerana ia mempunyai zat, serat serta vitamin yang bagus untuk kesihatan tubuh badan.

4. Jambu batu atau jambu biji

Jambu batu adalah salah satu buah yang mempunyai sumber vitamin C selain daripada buah limau. Kandungan vitamin C pada 100 gram jambu batu boleh mencapai 108 mg vitamin C. Kandungan vitamin C pada buah jambu batu lebih tinggi berbanding kandungan vitamin C pada buah limau. Ia bermanfaat untuk menjaga sistem imun badan serta memiliki sifat anti keradangan. Jika anda tidak suka memakannya secara langsung, anda boleh kisarkan buah jambu ini untuk dijadikan sebagai jus minuman.

5. Betik

Betik bukan sahaja mempunyai vitamin A yang banyak, tetapi ia juga mempunyai unsur vitamin C yang membantu melancarkan metabolisme pencernaan tubuh. Kandungan vitamin C pada 157 gram buah betik boleh mencapai 95.7 mg.

6. Strawberi

Strawberi salah satu jenis buah daripada kelompok buah beri. Kandungan vitamin C pada 100 gram buah strawberi boleh mencapai sebanyak 83 mg vitamin C. Ia bermanfaat membantu mencegah keradangan, mencegah radikal bebas dan mengurangkan risiko penyakit kanser.

Penulis:

  • Nur Rihhadatul Aisya Binti Mohd Nazaruddin adalah pelajar Fakulti Filem, Teater dan Animasi (FiTA) UiTM.
  • Dr. Mohd Syuhaidi Abu Bakar adalah Pensyarah Kanan dan Timbalan Dekan Penyelidikan dan Jaringan Industri (FiTA) UiTM.

Untuk baca lebih banyak artikel berkenaan khasiat buah dan sayur, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Artikel Lain Untuk Di Baca