Bakat Syamsul Yusof dalam dunia pengarahan tidak boleh disangkal lagi. Kami kongsikan enam filem arahan beliau yang berjaya mencatat kutipan pecah panggung:
1. Evolusi KL Drift (2008)
Evolusi KL Drift merupakan filem pertama arahan Syamsul Yusof pada tahun 2008.
Untuk dijadikan cerita, Evolusi KL Drift ialah sebuah kisah tentang Zack (Syamsul Yusof) dan Sham (Farid Kamil) yang berkongsi hobi yang sama dalam perlumbaan kereta.
Sebagai rekod, filem aksi permotoran yang dibintangi oleh Syamsul Yusof, Dato’ Farid Kamil, Dato’ Aaron Aziz, Fasha Sandha dan Datin Diana Danielle ini telah berjaya meraih keuntungan sebanyak RM4.5 juta.
2. Evolusi KL Drift 2 (2010)
Filem yang dibintangi oleh Syamsul Yusof, Farid Kamil, Aaron Aziz dan Scha Al-Yahya ini pula menceritakan tentang Zack yang telah menjadi seorang pelumba profesional.
Namun, Joe (Aaron Aziz) ingin membalas dendam kepada Zack setelah dia terlibat dalam kemalangan semasa mereka berlumba bersama-sama.
Sebagai rekod, filem Evolusi KL Drift 2 ini telah meraih kutipan sebanyak RM5.5 juta.
3. KL Gangster 1 (2011)
Dalam KL Gangster 1, Malek (Aaron Aziz) iaitu seorang bekas ketua kumpulan penjenayah yang baru sahaja keluar dari penjara ingin mengubah kehidupan dirinya dan keluarga.
Walaupun filem-filem lain di Malaysia tidak mendapat sambutan yang memberangsangkan pada waktu itu, filem aksi jenayah yang dibintangi oleh Syamsul Yusof, Zizan Razak, Soffi Jikan, Adi Putra dan Aaron Aziz ini berjaya meraih kutipan sebanyak RM11.74 juta.
4. KL Gangster 2 (2013)
Filem ini mengekalkan barisan pelakon yang sama dengan KL Gangster 1 tetapi terpalit dalam kontroversi cetak rompak sehingga mendatangkan kerugian yang besar kepada Skop Productions.
Kontroversi berkenaan turut menyebabkan KL Gangster 2 hanya berjaya meraih keuntungan sebanyak RM5 juta sahaja walaupun dikatakan sudah setaraf dengan filem Hollywood.
5. Munafik 1 (2016)
Munafik 1 ini menceritakan tentang Adam (Syamsul Yusof) iaitu seorang pengamal perubatan Islam tidak dapat menerima pemergian isterinya.
Walau bagaimanapun, Adam mula mengalami pelbagai peristiwa aneh selepas bertemu dengan Maria (Nabila Huda).
Sebagai rekod, filem ini berjaya meraih kutipan sebanyak RM17.04 juta pada tahun 2016.
6. Munafik 2 (2018)
Tidak dapat dinafikan bahawa Munafik 2 menerima sambutan yang hangat daripada penonton sehingga ia meraih kutipan sebanyak RM37.78 juta.
Filem seram Islamik ini menampilkan Syamsul Yusof, Maya Karin, Nasir Bilal Khan dan Weni Panca sebagai barisan pelakon.
Munafik 2 pula menceritakan tentang perjuangan Ustaz Adam (Syamsul Yusof) dalam berhadapan dengan kumpulan ajaran sesat yang diketuai oleh Abuja (Nasir Bilal Khan) di sebuah perkampungan yang terpencil.
Dalam Munafik 2, Ustaz Adam cuba untuk menyelamatkan Sakinah (Maya Karin), seorang ibu tunggal daripada Abuja.
Untuk pengetahuan anda, Munafik 2 berjaya mencipta sejarah dalam industri perfileman tempatan apabila meraih kutipan sebanyak RM21.6 juta dalam tempoh empat hari tayangan.
Pada pendapat anda, apakah filem arahan Syamsul Yusof yang sepatutnya diangkat ke peringkat yang lebih tinggi?
Penulis
- Nur Hazieta Husin adalah pelajar Fakulti Filem, Teater dan Animasi (FiTA) UiTM.
- Dr. Mohd Syuhaidi Abu Bakar adalah Timbalan Dekan Penyelidikan dan Jalinan Industri (FiTA) UiTM.
Untuk baca lebih banyak artikel berkaitan filem tempatan, anda boleh klik pada pautan di bawah: