Ini 5 Kepentingan Minum Air Kosong Secukupnya

Air adalah perkara kedua terpenting dalam tubuh manusia selepas oksigen. Perkara ini kerana lebih 60 peratus daripada tubuh manusia terdiri daripada air. Air mempunyai pelbagai fungsi penting dalam memastikan tubuh sentiasa sihat dan cergas.

Kebiasaannya, ramai di antara kita tidak menitikberatkan pengambilan air kosong yang secukupnya dalam kehidupan seharian dan lebih gemar minum minuman bergula yang boleh meningkatkan kalori dalam badan.

Oleh sebab itu, kita perlu tahu akan kepentingan pengambilan air kosong yang mencukupi agar tubuh kita kekal hidrat dan menjadi amalan harian untuk kehidupan yang lebih sihat.

1. Membekalkan Tenaga Sepanjang Hari

Jika anda sering berasa letih dan lesu dalam kehidupan seharian, cuba anda periksa kembali sama ada anda minum air yang mencukupi untuk tubuh anda ataupun tidak. Untuk pengetahuan semua, tubuh kehilangan cecair apabila anda banyak berjalan, bersenam, berpeluh akibat cuaca dan sebagainya. Sekiranya kandungan air dalam badan tidak mencukupi, ia boleh menjejaskan tahap kecerdasan fizikal anda.

Oleh yang demikian, meminum lapan gelas air yang disyorkan oleh pakar pemakanan dapat membantu tubuh anda berfungsi pada tahap yang optimum. Walau bagaimanapun, jumlah tersebut tidak cukup dan perlu ditambah sekiranya pekerjaan anda memerlukan anda bekerja di luar pejabat dan banyak pergerakkan. Selain itu, individu yang aktif bersukan juga perlu meningkatkan pengambilan air supaya tubuh badan sentiasa dalam keadaan hidrat.

2. Menurunkan Berat Badan

Satu perkara yang anda perlu tahu ialah minum air secukupnya juga mampu mempercepatkan proses penurunan berat badan. Air boleh meningkatkan kadar metabolisma badan yang berguna untuk membakar kalori. Air juga merupakan cecair mengandungi kosong kalori berbanding air bergula.

Bagi mendapatkan kesan yang terbaik, anda harus memastikan kandungan air dalam tubuh anda mencukupi mengikut berat badan anda. Kuantiti yang ideal adalah sebanyak 1 liter air bagi setiap 25 kilogram. Jadi, jika berat anda adalah 75 kilogram, anda perlu minum sekurang-kurangnya 3 liter air sehari.

3. Kulit Akan Semakin Sihat

Sel dalam kulit tidak akan dapat berfungsi dengan baik sekiranya badan anda kekurangan air. Air mengandungi nutrien yang boleh menyingkirkan toksin dalam badan sekali gus menjadikan kulit lebih sihat. Kandungan air yang mencukupi boleh menjana sel-sel baru bagi kulit dan rambut. Jadi, sudah tentu kulit anda akan lebih sihat dan tidak kusam lagi.

Peningkatan kuantiti air dalam badan juga mampu membantu melembabkan kulit dan mengurangkan masalah jerawat kerana tahap toksin yang rendah. Kebiasaannya jerawat timbul apabila liang pori pada wajah anda tersumbat kerana dilitupi dengan toksin yang tidak keluar daripada badan dengan baik. Hal ini boleh diatasi dengan meminum air secukupnya.

4. Melancarkan Sistem Pencernaan

Jika anda perasan, minum air secukupnya membuatkan anda lebih mudah membuang air besar atau air kecil. Hal ini terjadi kerana air dalam sistem pencernaan dapat membantu memecahkan lemak dan serat larut air yang membuatkan sistem pencernaan badan berfungsi dengan lebih baik. Tambahan pula, kekurangan air akan mengakibatkan tubuh anda mengalami dehidrasi yang boleh menyebabkan masalah sembelit kerana usus anda menyerap kadar air dalam makanan seterusnya melambatkan proses pencernaan. Jadi minumlah air secukupnya ya jika anda sukar buang air besar.

5. Meningkatkan Tahap Kesihatan Tubuh Badan

Minum air secukupnya bukan sahaja melambatkan sel kanser malah ia juga dapat membantu mencegah penyakit hati dan ginjal. Selain itu, pengambilan air yang mencukupi dapat mengurangkan risiko penyakit jantung dan strok. Air juga dapat membantu menguatkan kembali otot-otot dan ligamen serta melancarkan sistem peredaran darah dan pernafasan.

Khasiat air bukan sekadar untuk membersihkan tubuh sahaja malah sebagai zat yang penting untuk tubuh kita. Kita boleh kekal hidup tanpa makanan untuk beberapa hari tetapi tubuh kita tidak dapat bertahan lama tanpa minum air.

Oleh sebab itu, diharapkan anda minum air secukupnya untuk memperoleh 1,001 manfaat di samping mengamalkan gaya hidup lebih sihat.

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca