Ini 5 Jenis Kuih Tradisional Kegemaran Ramai

Kuih tradisonal merupakan salah satu makanan yang menjadi kegemaran masyarakat berbilang kaum di Malaysia. Ia telah menjadi pelengkap bagi juadah makanan tidak kira masa dan di mana jua. Kuih tradisional ini telah wujud dari suatu generasi ke generasi yang lain.

Kebiasaannya, kuih-kuih ini boleh dinikmati ketika minum petang atau sebagai pencuci mulut. Sesetengah daripada kuih-kuih tradisional di Malaysia menjadi ‘signature’ bagi setiap negeri. Terdapat lima jenis kuih-muih tradisional yang mudah untuk didapati.

1. Buah Melaka

Buah Melaka atau Ondeh-ondeh merupakan kuih tradisi masyarakat Melayu. Mengapa ia digelar buah Melaka? Adakah ia berasal dari negeri Melaka? Jawapannya mudah. Hal ini kerana kuih ini menggunakan gula Melaka sebagai intinya. Buah melaka mudah didapati di gerai-gerai yang menjual kuih-muih tradisional. Bukan itu sahaja, ia juga mudah untuk dimasak dengan hanya menggunakan beberapa jenis bahan. Tekstur buah melaka yang kenyal serta intinya yang cair merupakan kombinasi yang baik bagi penggemar manisan.

2. Kuih Talam

Sumber: Makan Lena

Kuih Talam merupakan sejenis kuih tradisional yang dimasak di dalam talam. Kuih talam merupakan kuih yang mempunyai dua lapisan warna yang berbeza. Kuih ini dikatakan unik kerana ia boleh didapati dalam pelbagai perisa, mengikut kreativiti individu yang memasak. Antara kuih Talam yang mudah untuk didapati ialah Talam Ubi, Talam Keladi, Talam Pandan serta Talam Cendol.

3. Kuih Seri Muka

Sumber: Makan Lena

Kuih Seri Muka dimasak dengan kaedah yang sama seperti kuih Talam. Bentuk kedua-dua kuih tradisional ini juga kelihatan serupa. Namun begitu, tekstur kuih Seri Muka agak berbeza berbanding kuih Talam. Lapisan bawah kuih ini dimasak dengan beras pulut. Kuih Seri Muka juga boleh didapati dengan pelbagai versi mengikut kreativiti individu.

4. Pulut Panggang

Sumber: Makan Lena

Pulut Panggang juga dikenali dengan nama Pulut Lepa dan Rempah Udang. Kuih ini merupakan resipi turun-temurun peranakan yang masih menjadi kegemaran masyarakat Malaysia sehingga ke hari ini. Pulut Panggang dihasilkan dengan menggunakan beras pulut dan isi udang kering atau isi ikan. Pulut dan inti tersebut dibalut dengan menggunakan daun pisang. Bagaimana kuih tradisional ini memperoleh nama? Rempah udang atau inti isi ikan itu berasal daripada masyarakat Nyonya. Manakala Pulut Panggang pula lebih sinonim dengan masyarakat Melayu dan Pulut Lepa pula mendapat nama menerusi rakyat di Pantai Timur.

5. Kuih Epok-Epok/Karipap

Sumber: Makan Lena

Epok-epok juga adalah antara kuih yang paling mudah untuk didapati di setiap pelosok negeri dalam Malaysia. Kuih Epok-epok atau lebih dikenali dengan Karipap merupakan kuih tradisional yang diperbuat daripada pastri goreng dan berintikan kentang. Asal-usul kuih ini mempunyai pelbagai versi. Ada yang mengatakan kuih ini inspirasi daripada kerajaan British yang terdahulu. Malah, ada juga yang mengatakan bahawa Karipap diilhamkan daripada kuih Samosa dari India serta Portugis Empnada. Inti Karipap dimasak secara berasingan dan kemudiannya diisi di dalam tepung pastri yang berbentuk seperti poket kecil kemudian hujungnya dikelim bagi mengelakkan inti terkeluar.

Penulis:

  • Nur Alisa Farhana Binti Mohd Zukari adalah pelajar Fakulti Filem, Teater dan Animasi (FiTA) UiTM.
  • Dr. Mohd Syuhaidi Abu Bakar adalah Pensyarah Kanan dan Timbalan Dekan Penyelidikan dan Jaringan Industri (FiTA) UiTM.

Sebelum ini, kami ada kongsikan sepuluh makanan tradisional yang terkenal di Malaysia. Untuk baca artikel penuh, sila klik pada pautan di bawah:

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca