Ini 5 Hidangan Terkenal Yang Tercipta Secara Tidak Sengaja

Apa yang membuatkan sesuatu hidangan itu menjadi sangat sedap?

Sesetengahnya mungkin berpendapat bahawa kepakaran seorang tukan masak, bahan berkualiti yang digunakan dan resepi turun-temurun menjadi kunci bagaimana sesuatu hidangan itu menjadi sangat sedap sehingga digilai ramai.

Walau bagaimanapun, tidak semua makanan di dalam dunia ini diciptakan dengan ketelitian dan kepakaran yang tinggi.

Berikut merupakan lima makanan terkenal di dunia yang dihasilkan secara tidak sengaja.

1. Popsicle

Tahukah anda bahawa popsicle atau aiskrim batang sebenarnya dihasilkan secara tidak sengaja?

Pada usia 11 tahun, Frank Epperson sangat mengemari minuman soda. Pada suatu malam pada tahun 1905, lelaki berkenaan secara tidak sengaja telah meninggalkan mesin membuat minuman berbusa itu di luar rumah.

Apabila pagi menjelma, Frank mendapati sebatian soda di dalam mesin itu telah beku sepenuhnya. Malah, batang yang digunakan untuk mengacau campuran itu juga telah melekat bersama. Ketika itulah Frank menyedari bahawa apa yang berada di hadapannya adalah sesuatu yang agak hebat.

Frank Epperson kemudiannya menghabiskan masa hampir 20 tahun menghasilkan hidangan baharu itu buat teman-teman dan anak-anaknya. Ciptaan tersebut kemudiannya dinamakan Pop’s sicles pada tahun 1923.

2. Potato chips

Meskipun potato chips atau snek kentang digemari masyarakat di serata dunia, ternyata makanan ini sebenarnya tercipta secara tidak sengaja oleh seorang tukang masak yang marah.

Pada tahun 1853, seorang ketua tukang masak bernama George Crum mula hilang sabar apabila pelanggannya kerap kali menghantar semula hidangan kentang goreng yang dihasilkannya. Alasannya adalah kerana makanan yang dimasak terlalu lembik dan potongannya agak besar.

Dengan niat untuk membalas dendam kepada pelanggannya, George telah bertindak menghiris nipis kentang goreng yang akan dimasaknya sebelum menabur garam yang tersangat banyak di atas hidangan terbabit.

Alangkah terkejutnya George apabila pelanggan cerewet terbabit menggemari kentang goreng nipis yang dimasaknya sehingga hal itu tersebar ke serata kawasan. George akhirnya membuka sebuah restoran bernama The Crumbs House bagi memenuhi permintaan orang ramai.

3. Slurpee

Siapa sahaja yang tidak mengenali minuman terkenal di 7-Eleven iaitu Slurpee?

Tahukah anda minuman ini juga sebenarnya terhasil secara tidak sengaja? Ia terjadi apabila pemilik franchais Dairy Queen di Kentucky, Omar Knedlik berdepan masalah apabila mesin minuman soda miliknya sering rosak.

Disebabkan hal itu, lelaki berkenaan terpaksa menyimpan minuman soda terbabit di dalam peti sejuk beku.

Tanggapan Omar bahawa tiada pelanggan yang akan membeli soda bekunya salah apabila mereka yang hadir kerap kali meminta pemilik Dairy Queen itu supaya terus membekukan minuman berkenaan.

Mengambil kesempatan terhadap perkara yang telah berlaku, Omar kemudiannya membina sebuah mesin khas bernama ICEE untuk menghasilkan soda separa beku itu yang kemudiannya dibeli oleh lebih daripada 300 syarikat lain.

Pada tahun 1965, 7-Eleven mengambil alih mesin ICEE sebelum menukarkan namanya kepada Slurpee yang masih digunakan sehingga hari ini.

4. Kopi

Menurut legenda, kopi sebenarnya ditemui secara tidak sengaja oleh kambing.

Ratusan tahun dahulu, seorang pengembala kambing bernama Kaldi menyedari bahawa kambing-kambing miliknya berubah sikap menjadi terlalu ceria dan bertenaga.

Dek didorong rasa inkuiri yang tinggi, Kaldi telah mengekori kambingnya dan menjumpai sebuah tumbuhan aneh yang menghasilkan biji berwarna gelap.

Pengembala berkenaan kemudiannya bukan sahaja mengambil biji-biji aneh itu buat dirinya sendiri, malah, Kaldi juga sempat memberikannya kepada seorang sami yang mempunyai masalah sukar untuk berjaga saat melakukan ibadah.

Merasai perubahan pada dirinya selepas memakan biji berkenaan, sami itu kemudiannya menghasilkan sejenis minuman yang dikenali sebagai kopi pada hari ini.

5. Sandwich

Tidak dinafikan bahawa hidangan sandwich merupakan antara makanan yang paling mudah untuk dihasilkan. Namun begitu, tahukah anda bahawa sandwich sebenarnya tercipta secara tidak sengaja buat seorang kaki judi?

Pada tahun 1762, John Montagu yakni Earl of Sandwich yang keempat sedang berada dalam satu permainan perjudian yang sangat sengit. Meskipun beliau lapar, John enggan meninggalkan mejanya.

Disebabkan itu, Earl of Sandwich keempat itu telah mengarahkan tukang masaknya untuk menghasilkan satu hidangan yang sedang dimakan tana perlu meninggalkan meja perjudian.

Begitulah bagaimana hidangan sandwich kemudiannya tercipta dan masih dinikmati sehingga abad ini.

Apa pendapat anda? Hidangan mana di dalam senarai ini yang mengejutkan anda?

Untuk membaca artikel lain berkaitan makanan, sila klik pada pautan di bawah:

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca