Ini 5 Aktiviti Yang Anda Boleh Buat Bagi Manfaatkan Lagi Rutin PKP

Perintah kawalan pergerakan (PKP) kembali lagi dengan penguatkuasaan sejak 13 hingga ke 26 Januari baru-baru ini.

Anda pasti berasa sedikit sebanyak tertekan dengan bebanan kerja dari rumah dan tidak dapat keluar rumah lagi melainkan dengan tujuan yang tertentu seperti membeli barang dapur.

Perdana Menteri turut merayu kepada seluruh rakyat Malaysia supaya duduk diam-diam di rumah dan tidak perlu ke mana-mana agar dapat mengelak dari risiko jangkitan dan membendung penularan COVID-19 yang semakin meningkat kian hari.

Oleh itu, untuk menceriakan lagi rutin hidup anda dan membuatkan ia lebih produktif, berikut kami kongsikan lima aktiviti yang anda boleh lakukan semasa PKP:

1.Main game bersama keluarga atau rakan serumah

Sumber: Encik Shino

Aktiviti main game ini tidak asing lagi bagi sesetengah kanak-kanak dan remaja. Majoritinya adalah tergolong daripada lelaki.

Tetapi, apa salahnya jika kita bina minat baharu dan merapatkan lagi hubungan sesama keluarga atau rakan-rakan serumah dengan main game seperti PUBG, Among Us, Animal Crossing dan banyak lagi.

Selain permainan video, anda juga boleh bentangkan papan permainan seperti Monopoly, Scrabble ataupun permainan kad seperti Uno. Yang pastinya, aktiviti ini mampu membuatkan sesiapa sahaja terhibur.

2. Memasak

Sumber: Fimela

Seringkali, masyarakat akan sinonimkan kegiatan memasak itu dengan kaum perempuan dan juga para ibu di luar sana. Akan tetapi, kenyataan itu sudah tidak relevan. Lihat sahaja influencer masakan terkemuka di media sosial seperti Khairulaming, Hazwan Ramli dan juga kebanyakan cef di restoran dan hotel juga adalah terdiri daripada kaum Adam.

Aktiviti ini sangat sesuai bagi sesiapa sahaja. Bagi yang sudah berkeluarga, jadikan kegiatan ini sebagai aktiviti meluangkan masa bersama setiap ahli keluarga terutamanya dengan anak-anak anda.

Malah, aktiviti ini juga dapat memberi manfaat kepada golongan bujang di mana ia dapat menjimatkan lagi wang anda untuk tidak lagi mengeluarkan duit membeli makanan luar.

Anda tidak tahu memasak? Jangan risau, dengan trend masakan tular di Internet, segala resipi kini berada di hujung jari anda dan gunakan masa ini untuk menambah skil memasak.

3. Bersenam di rumah

Sumber: Sinar Harian

Tanggungjawab anda sebagai rakyat untuk duduk di rumah bukanlah penghalang dan alasan untuk tidak mengamalkan gaya hidup yang sihat.

Dengan pelbagai video workout di rumah yang telah dimuat naik di Internet, kini anda boleh sahaja bersenam mengikut setiap langkah yang dipaparkan bersama keluarga. Selain workout, zumba dan aerobik juga sesuai untuk seisi keluarga.

Senaman yang ringkas seperti regangkan badan, lari setempat dan lompat tali turut memberikan anda manfaat kepada kesihatan.

4. Baca balik semua buku dan novel yang ada

Anda pasti ada lambakan buah buku yang sudah lama dibaca sampai habis tetapi akhirnya terpampang di rak buku sahaja. Daripada membiarkan sahaja buku itu dipamerkan dekat rak lama-lama, apa kata anda menggunakan masa terluang untuk membaca semula buku-buku tersebut?

Tempoh yang lama tidak membaca buku tersebut mungkin telah membuatkan anda lupa tentang jalan cerita yang ada dalamnya.

Lebih mengeratkan lagi hubungan sesama keluarga apabila anda menukar buku sesama sendiri atau memberi buku tersebut kepada ahli keluarga yang lain.

Aktiviti ini sangat bermanfaat terutamanya kepada ulat buku dan juga dapat memberikan kebaikan membaca kepada diri dan juga orang lain.

5. Lakukan kerja-kerja rumah bersama keluarga

Sebelum ini, pasti ada sesetengah daripada anda yang tidak ada masa untuk membersihkan rumah atau melempiaskan semua hal ehwal pembersihan rumah kepada orang gaji, isteri atau ibu.

Inilah masanya untuk mengumpulkan semua ahli keluarga dalam membantu sesama sendiri bagi membersihkan rumah secara menyeluruh atau lebih dikenali sebagai spring cleaning.

Bukan sahaja dapat meringankan beban orang lain, ia juga mampu memberikan anda kepuasan melihat persekitaran rumah yang bersih dan turut mencergaskan diri anda dari aktiviti tersebut.

Jadikan hari PKP anda lebih bermanfaat dan jangan biarkan diri anda tertekan kerana kehidupan dalam rumah sebenarnya lebih berharga dari luar sana.

Untuk baca artikel-artikel berkaitan, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Artikel Lain Untuk Di Baca