Musim cuti sekolah semakin hampir. Adakah anda sudah merancang percutian bersama keluarga? Mac merupakan bulan yang paling ditunggu-tunggu oleh anak-anak. Mana tidaknya, waktu sebeginilah selalunya ibu bapa akan merancang untuk membawa mereka bercuti. Di samping itu juga, inilah waktu yang ideal untuk ibu bapa menghilangkan tekanan bekerja.
Untuk peringatan anda, cuti sekolah akan bermula pada 23 Mac hingga 31 Mac nanti. Jadi, kalau anda tidak ada idea nak bawa anak-anak ke mana, di sini kami kongsikan 5 destinasi menarik dalam Malaysia untuk percutian anda bersama keluarga.
1. LIMA`19, Langkawi
Pameran Aeroangkasa dan Maritim Antarabangsa Langkawi atau lebih dikenali sebagai LIMA merupakan satu pameran udara dan maritim yang berkaitan dengan penerbangan komersial dan pertahanan. LIMA akan berlangsung selama 5 hari bermula 26 hingga 30 Mac tahun ini dan diadakan di Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC), Langkawi.
Untuk maklumat anda, pameran ini dibahagikan kepada dua segmen yang berlainan di mana pameran udara biasanya diadakan di Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri yang berdekatan dengan Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi, manakala bagi segmen maritim pula diadakan di Awana Porto Malai, Kuah.
Menariknya, acara yang diinspirasi daripada Tun M merupakan acara yang berprestij dan berprofil tinggi. Ia disertai lebih daripada 555 pempamer, 371 delegasi asing dari 49 negara, 634 pengamal media yang diakreditasi dan dihadiri oleh 279,969 pengunjung perdagangan pada edisi yang lalu.
Jadi, kepada anda yang berminat untuk berkunjung bolehlah ketahui cara bagaimana hendak mendapatkan tiket melalui artikel kami sebelum ini.
2. Movie Animation Park Studio (MAPS), Perak
MAPS dibahagikan kepada 6 zon iaitu Animation Square, Blast Off Zone, Fantasy Forest Zone, Lakeside Zone, Live Action Zone dan Trick O’ Thrill Zone. Keenam-enam zon ini mempunyai tarikan yang tersendiri.
Pada 1 Mac 2019, MAPS membuka peluang kepada semua masyarakat Malaysia untuk berkunjung ke sana dengan tawaran kemasukan secara percuma. Para pengunjung hanya perlu membayar menerusi sistem kupon sekiranya mahu bermain permainan atau menonton persembahan di taman tema tersebut.
Kupon yang berharga serendah RM3 disediakan selain dua bentuk tiket istimewa. Tiket berkenaan ialah MAPS Pasport berharga RM80 untuk pengunjung menaiki setiap permainan dan tarikan di MAPS untuk sekali saja dengan tempoh sah adalah selama 30 hari.
Satu lagi tiket ialah MAPS Infinite Pass yang mana pengunjung boleh menaiki dan menikmati setiap tarikan di MAPS seberapa banyak kali yang mereka mahu dalam tempoh sehari.
Waktu operasi MAPS mulai 1 Mac ini ditetapkan mulai pukul 4 petang sehingga 12 malam pada hari Isnin, Selasa dan Khamis. Hari Jumaat dan hujung minggu, MAPS akan beroperasi bermula pukul 10 pagi sehingga 12 tengah malam. Jadi, ibu bapa bolehlah merancang percutian bersama anak-anak dengan bijak.
3. KidZania, Damansara
Anda mencari apa yang menarik di Selangor untuk dilakukan bersama anak-anak? Apa kata bawa mereka ke KidZania yang merupakan sebuah destinasi ala-ala taman tema indoor yang mempunyai banyak tarikan permainan yang interaktif kepada anak-anak.
Apa yang menariknya, anak-anak anda boleh melakukan banyak aktiviti yang boleh merangsang minda pembelajaran dan bermain menjadi orang dewasa yang mempunyai profesion seperti pilot, ahli bomba, doktor dan sebagainya. Mana tahu mungkin dengan permainan sebegini akan menyemai semangat dan cita-cita yang tinggi untuk mereka kelak.
Di samping itu, harga tiket masuk ke sana terbahagi kepada peringkat umur dan jenis pengunjung. Selain itu, waktu operasi pula bermula pada pukul 10 pagi sehingga 5 petang setiap hari Ahad hingga Jumaat.
4. Muzium Coklat, Kota Damansara
Muzium Coklat yang pertama di Malaysia dan Asia Tenggara ini dibuka oleh pengeluar coklat tempatan dan pengedar terbesar di Malaysia iaitu DR Group Holdings Sdn. Bhd. Muzium ini dibuka secara percuma pada setiap hari bermula jam 10 pagi sehingga jam 5 petang.
Konsep yang diketengahkan oleh Muzium Coklat adalah menyediakan pengetahuan yang bersifat interaktif, pengalaman melihat dan membuat coklat serta keseronakan membeli coklat dengan harga berpatutan. Apa yang menarik tentang Muzium Coklat adalah pengunjung boleh melihat pelbagai pameran dan maklumat yang menarik berkaitan coklat.
Tujuannya supaya pengunjung mendapat ilmu tentang asal-usul sejarah coklat, kebaikan memakan coklat, proses pembuatan coklat, negara-negara pengeluar coklat dunia dan banyak lagi. Ia mungkin menjadi satu destinasi yang membuatkan anak-anak kecil tidak cepat bosan.
5. MinNature Malaysia, The Summit USJ
Destinasi sebegini memang unik dan hanya satu seumpamanya di Malaysia. Sekiranya anda mencari tempat menarik di Selangor yang lain daripada yang lain, apa kata ke MinNature Malaysia yang merupakan MinNature indoor dan pameran kereta api mini yang ketiga terbesar di dunia.
Sehingga hari ini, ruangan pameran telah memenuhi 17,000 kaki persegi dan angka ini sentiasa bertambah dari masa ke masa. Setiap pameran MinNature di sini di hasilakan oleh orang tempatan yang kreatif dan pelbagai replika mini serta diorama mini yang menarik ada di sini untuk tatapan pengunjung. Tak ubah diri kita menjadi seperti Ultraman yang besar saiznya tetapi kecil persekitarannya.
Alang-alang anda sudah sampai ke MinNature, apa kata anda singgah ke kedai buku I Am Lejen Shop untuk melihat pelbagai jenis buku yang menarik serta menawarkan harga yang sangat berpatutan. Jarak antara MinNature ke I Am Lejen Shop hanya 5km sahaja.
Jika anda ingin datang ke I Am Lejen Shop dengan menggunakan kereta, anda boleh menggunakan aplikasi Waze atau Google Maps dengan carian I Am Lejen Shop. Manakala, jika anda menggunakan pengangkutan awam, anda boleh naik LRT dan turun di stesen SS15 yang hanya terletak kira-kira 50 meter sahaja dari kedai.