Ini 4 Kisah Tragis Kanak-Kanak Yang Dibesarkan Oleh Haiwan

Seperti yang kita tahu, haiwan juga mempunyai perasaan belas kasihan. Tetapi sangat tragis apabila ada kanak-kanak yang dibesarkan oleh haiwan kerana pengabaian ibu bapa yang sengaja meletakkan kanak-kanak ini bersama dengan haiwan sehingga mereka besar. Ini adalah 4 kisah tragis kanak-kanak yang dibesarkan oleh haiwan yang menarik untuk dikongsikan.

1. Oxana Malaya membesar bersama anjing

Ini adalah sebuah kisah yang berlaku pada tahun 1991, sebuah kisah yang tragis apabila Oxana Malaya yang berasal dari Ukraine, ditemui di dalam rumah anjing keluarga yang terletak di luar rumah. Pihak polis telah menemui Oxana di luar rumah sementera ibu bapa Oxana yang kedua-duanya kaki botol berada di dalam rumah.

Akibat diabaikan, hampir setiap hari Oxana akan pergi ke dalam rumah anjing dan mereka akan tidur bersama-sama. Hampir lima tahun dia tidur bersama anjing. Oxana yang tidak mempunyai banyak interaksi dengan manusia biasa selain kedua ibu bapanya mula berkelakuan seperti seekor anjing. Dia berjalan dengan merangkak, hanya memakan daging mentah, mengonggong dan mengerang seperti seekor anjing.

Oxana tidak boleh bercakap dan hanya mengonggong. Setelah diselamatkan, ia mengambil masa bertahun-tahun lamanya untuk melatih Oxana bersifat seperti seorang manusia semula. Dia ditempatkan di institusi untuk kanak-kanak mental dan menghabiskan masanya menjaga binatang di klinik. Oxana kini berusia 32 tahun.

2. Marina Chapman dibesarkan oleh monyet

Marina Chapman yang berasal dari Columbia telah diculik semasa dia berumur lima tahun. Kisahnya menjadi tragis apabila dia telah ditinggalkan di dalam hutan dan dibiarkan berseorangan. Marina Kemudian ditemui oleh sekumpulan monyet capuchin, sejenis spesies monyet yang bijak. Selama lima tahun, Marina dibesarkan oleh kumpulan monyet ini. Dia berjalan, makan, berkomunikasi dan bersosial seperti seekor monyet.

Sumber: Iluminasi

Setelah menghabiskan masa bertahun-tahun hidup bersama monyet, Marina ditemui oleh pemburu. Pemburu tersebut telah menghantar Marina ke gereja dan dilatih untuk membesar sebagai seorang manusia biasa sehinggalah dia berkahwin dan mempunyai dua orang anak. Dia juga menulis sebuah buku menceritakan pengalamannya dengan kumpulan monyet yang bertajuk The Girl With No Name The Incredible Story Of A Girl Raised By Monkeys.

3. Lyokha dibesarkan oleh serigala

Kisah ini dilaporkan pada tahun 2007 dahulu apabila penduduk kampung di Russia Tengah menemui seorang budak di kawasan hutan daerah Kaluga sedang tidur di sarang serigala bersama sekumpulan serigala di dalam kawasan yang sejuk. Pihak polis segera dipanggil dan mereka bergegas datang menyelamatkan kanak-kanak tersebut. Apabila diselamatkan pula dia mengerang dan menggigit pihak polis. Dia kemudian dibawa ke hospital di Moscow. Menurut pihak polis, kanak-kanak tersebut di dalam lingkungan 10 tahun dan berkemungkinan lebih tua disebabkan tubuh badannya yang tidak membesar.

Dia mempunyai kuku yang panjang seperti ciri-ciri seekor serigala. Pihak hospital memandikan kanak-kanak tersebut dan memberikan nama lyokha. Namun begitu, kurang daripada 24 jam diselamatkan, lyokha melarikan diri dari hospital dan menjadi buruan polis. Menurut pihak polis, lyokha berbahaya kerana dia akan menggigit manusia yang lain dan berkelakuan seperti seekor serigala. Pihak polis tidak dapat menjejaki lyokha dan polis percaya dia kembali kepada keluarga serigalanya jauh di dalam hutan.

4. Vanya Vudin dibesarkan oleh burung

Pada umur lapan tahun, Vanya Yudin ditemui di dalam sangkar burung di sebuah apartment kecil di Russia. Malang bagi Vanya apabila ibunya melayan Vanya sebagai seekor binatang peliharaannya dan bukan sebagai seorang anak. Disebabkan membesar dikelilingi oleh burung, Vanya kemudian mewarisi ciri-ciri seekor burung. Ia akan bersiul, bercangkung dan berjalan seperti seekor burung. Vanya tidak mempunyai interaksi dengan manusia dan dia tidak boleh bercakap.

Walaupun Vanya tidak pernah diseksa ataupun dibiarkan kelaparan oleh ibunya, tetap tiada interaksi di antara mereka. Vanya diselamatkan daripada ibunya dan diletakkan di bawah badan penjagaan kanak-kanak. Ibunya hilang hak terhadap Vanya pada tahun 2008 dan Vanya telah diletakkan di dalam unit pemulihan psikologi.

Penulis:

  • Siti Hanida Binti Harun adalah pelajar Fakulti Filem, Teater dan Animasi (FiTA) UiTM.
  • Dr. Mohd Syuhaidi Abu Bakar adalah Pensyarah Kanan dan Timbalan Dekan Penyelidikan dan Jaringan Industri (FiTA) UiTM.

Untuk baca lebih banyak artikel berkenaan kisah tragis, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca