Ini 4 Kisah Kenderaan Misteri Urban Legenda Yang Diketahui Seluruh Malaysia

Kisah kenderaan misteri yang menganggu atau menakutkan pengguna jalan raya yang lain adalah sesuatu yang sering kali kita dengar sehingga ada menyebabkan berlakunya kemalangan dan membawa maut. Menarik hari ini kita akan lihat kenderaan dengan kisah urban legenda yang terkenal dan diketahui seluruh Malaysia. Ini hanyalah empat kisah urban legenda yang tidak semestinya betul, tetapi sangat menarik untuk dikongsikan.

1. Skuter putih, Terowong Menora

Ini diceritakan berlaku di Terowong Menora iaitu terowong yang terletak di antara Kuala Kangsar dan Ipoh. Sejak ia dibuka pada tahun 1986 dahulu, banyak kes kemalangan di sini kerana laluannya yang curam dan banyak selekoh menyebabkan ada kenderaan yang hilang kawalan dan terbabas. Namun selain daripada faktor-faktor itu, ada juga yang mengaitkan kemalangan di sini dengan beberapa jenis kenderaan yang tiba-tiba muncul dari belakang.

Contohnya penampakan skuter putih yang sering menganggu pembonceng motosikal. Mereka yang terserempak dengan skuter putih ini selalunya akan datang dari belakang. Dari jauh lagi mereka akan melihat kelibat skuter putih dengan seorang pembonceng. Pembonceng itu akan memberikan isyarat untuk membenarkan mereka memotong. Apabila berada di depan dan melihat daripada cermin sisi, rupanya-rupanya skuter tadi tidak lagi berpembonceng dan ia bergerak dengan sendiri. Mereka yang terkejut sama ada akan memecut atau terbabas di jalan raya.

2. Iswara biru, Old Klang Road

Ini pula adalah kisah yang menjadi bualan mulut bagi penduduk yang tinggal di sekitar Federal Highway, Old Klang Road. Kisahnya bermula apabila ada seorang lelaki yang memandu iswara biru melintasi kawasan Old Klang Road terserempak dengan dua beranak iaitu ibu yang sedang mendukung anaknya. Pemuda itu bersimpati lalu menumpangkan mereka. Mereka berdua masuk ke dalam kenderaan dan duduk di belakang.

Sewaktu dalam perjalanan, pemuda itu pelik kerana apabila melihat pada cemin belakang, tiada penumpang. Tetapi apabila menoleh kepala ke belakang, mereka ada di dalam kenderaannya. Tiba-tiba bayi itu menangis kerana lapar. Simpati dengan bayi yang kelaparan, pemuda itu singgah ke Shell untuk membeli roti. Dia memberhentikan kenderaan berdekatan dengan pintu masuk. Kemudian, dia mengambil roti lalu berkata kepada pekerja di sana bahawa roti itu untuk bayi yang sedang menangis di dalam kereta.

Pekerja-pekerja itu pelik lalu memberitahu tiada orang di dalam kenderaan tersebut. Pemuda itu menoleh ke keretanya dan masih melihat dua beranak itu. Namun, pekerja yang lain masih bertegas bahawa mereka tidak melihat sesiapa. Pemuda tadi kemudian pergi ke kereta lalu menyuruh dua beranak itu turun dengan alasan ada masalah dan dengan raut wajah yang marah, wanita itu hilang dengan serta merta.

Kisah ini tidak berakhir di situ saja. Sejak dari hari itu, pemuda itu kerap melihat wanita itu di belakang keretanya dan sering membuatnya hilang akal. Iswara birunya itu mempunyai penunggu. Menurut kisah, kerana tidak tahan dengan gangguan itu, pemuda tersebut telah membuang iswara biru miliknya itu dengan begitu sahaja.

3. Mercedes hitam, Tawau

Ini pula adalah kisah kenderaan yang kelihatan berlegar-legar di sekitar Tawau, Sabah. Kononnya pada waktu 1990-an dahulu, terdapat kes sebuah keluarga yang menaiki Mercedes hitam terlibat dalam kemalangan. Kenderaan mereka terbabas dan terbalik. Disebabkan pada waktu itu jalan Tawau sunyi, tiada orang yang dapat membantu mereka membuatkan seluruh ahli keluarga terkorban.

Sejak hari itu, banyak kejadian pelik dan misteri berlaku di sekitar jalan Tawau dan kadar kemalangan di jalan Tawau turut meningkat. Ada yang mengaku melihat Mercedes hitam sebelum mereka terlibat dalam kemalangan. Mercedes itu akan memintas kenderaan mereka secara tiba-tiba pada waktu malam membuatkan mereka terbabas.

Jika dilihat secara teliti, Mercedes itu tidak mempunyai pemandu. Disebabkan terlalu kerap berlaku kemalangan di situ, wujud satu teori untuk mengelakkan diganggu iaitu mereka yang diekori atau dipintas oleh Mercedes tersebut perlu pergi ke bulatan yang dikenali sebagai bulatan Sin Onn dan terus memecut ke arah timur.

4. Volkswagen kuning, Lebuh Raya Karak

Ini adalah kisah yang paling popular di dalam senarai ini. Banyak kisah mistik yang dilaporkan berlaku di sekitar Lebuh Raya Karak tersebut dan kisah Volkswagen kuning yang mengekori kenderaan dari belakang. Kisah ini adalah paling popular di Lebuh Raya Karak. Volkswagen itu dikatakan tidak mempunyai pemandu.

Kononnya apabila Volkswagen ini berada di hadapan, anda tidak boleh memotong dan brek juga dikatakan tidak akan berfungsi. Kepada mereka yang malang, kenderaan mereka akan hilang kawalan dan terbabas. Menurut sebuah kisah, Volkswagen ini akan muncul beberapa kali di sepanjang Lebuh Raya Karak dan banyak kemalangan adalah dikatakan berpunca daripada kelibat kenderaan yang berwarna kuning ini.

Itu adalah kisah mistik kenderaan urban legenda yang popular di seluruh Malaysia. Apa-apa pun kita ambil ini sebagai kisah mistik urban pelbagai kenderaan dan jangan terlalu taasub dengannya. Kisah-kisah ini mungkin benar dan mungkin juga rekaan semata-mata untuk memberi peringatan kepada pemandu supaya lebih berhati-hati ekoran kes kemalangan yang semakin hari semakin meningkat.

Penulis:

  • Siti Hanida Binti Harun adalah pelajar Fakulti Filem, Teater dan Animasi (FiTA) UiTM.
  • Dr. Mohd Syuhaidi Abu Bakar adalah Pensyarah Kanan dan Timbalan Dekan Penyelidikan dan Jaringan Industri (FiTA) UiTM.

Untuk baca lebih banyak artikel berkenaan kisah misteri, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Artikel Lain Untuk Di Baca