Ini 3 Perkara Yang Anda Mungkin Persoalkan Di Dalam Drama Melayu

Seperti yang semua sedia maklum, drama Melayu sudah pasti menjadi kebiasaan rakyat Malaysia. Walaupun terdapat pelbagai drama tempatan yang menarik perhatian orang ramai, ia sentiasa mempunyai sesuatu yang sentiasa mengganggu penonton.

Kami akan kongsikan tiga perkara yang anda mungkin pernah persoalkan semasa menonton drama menerusi artikel ini:

1. Bangun dan tidur dengan wajah penuh mekap

Sumber: iQIYI

Kita sudah sedia maklum bahawa pelakon pasti akan mengenakan mekap untuk kelihatan lebih menarik. Namun, ada beberapa babak yang akan membuat kita fikir, “ehhhhhhhh?”

Salah satu contoh babak tersebut adalah apabila watak utama wanita bangun atau tidur dengan wajah penuh mekap. Tidak kira sama ada tebal atau nipis, wajah mereka pasti akan sedia dengan mekap.

Untuk pengetahuan, tidur dengan mekap pada wajah akan merosakkan kulit dan sekali gus menjadikan ia ‘ladang’ jerawat. Secara ringkasnya, ia tidak masuk akal untuk mana-mana individu tidur dengan penggaris mata yang elok terbentuk dan bibir merah menyala.

2. Luka tempat lain tetapi balut tempat lain?

Sumber: Ohbulan!

Ia sentiasa menimbulkan tanda tanya dalam kalangan para penonton sekiranya ada babak yang memaparkan watak-watak terlibat dalam kemalangan dan terlantar di hospital. Di manakah sebenarnya luka itu?

Terdapat babak menunjukkan kepala mereka dibalut tetapi mengapa pembalut tersebut kelihatan seperti bandana? Ada juga babak di mana mereka dibalut seperti mumia tetapi memakai alat bantuan pernafasan?

Ia akan sentiasa menjadi persoalan dan bahan mengkritik drama tersebut. Ada yang berkata ia seperti mengejek industri perubatan manakala terdapat juga pihak yang menjelaskan bahawa ia hanya sekadar penambahan dramatik.

3. Gadis kampung rambut perang

Kita sudah pasti biasa melihat drama di mana gadis bertudung yang membesar di kampung berkahwin dengan anak orang kaya. Pernahkah kita persoalkan warna rambut watak utama wanita? Biasanya tidak.

Ini kerana kita sudah sedia maklum bahawa terdapat pelakon wanita yang memakai tudung hanya kerana ingin menjayakan watak. Namun, apa yang menjadi persoalan di sini adalah watak tersebut ialah wanita bertudung dan berasal dari kampung tetapi mengapa rambut mereka perang dan bukannya warna semula jadi iaitu hitam?

Ia jelas bahawa ibu bapa si gadis merupakan orang Melayu tulen jadi mengapakah rambutnya berwarna perang? Perkara tersebut sentiasa membuat penonton berfikir sama ada pihak produksi sengaja membuat si gadis mempunyai rambut berwarna atau membiarkannya kerana watak tersebut memakai tudung.

Sebagai seorang penonton drama Melayu, adakah anda bersetuju dengan perkara-perkara di atas?

Penulis:

  • Wan Nur Izzah Azmi adalah pelajar Fakulti Filem, Teater dan Animasi (FiTA) UiTM.
  • Prof Madya Dr. Mohd Syuhaidi Abu Bakar adalah Pensyarah Kanan dan Timbalan Dekan Penyelidikan dan Jaringan Industri (FiTA) UiTM.

Untuk baca artikel-artikel berkaitan drama Melayu, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Artikel Lain Untuk Di Baca