Ini 13 Tips Untuk Imam-Imam Solat Terawih Di Rumah

Pada tahun 2020 ini, semua umat Islam menyambut Ramadan dalam keadaan yang berbeza, tidak seperti sebelum ini. Dahulu, kita dapat pergi ke masjid untuk mengerjakan solat terawih setiap malam.

Kini, terdapat batasan yang perlu kita patuhi demi keselamatan diri sendiri dan orang ramai kerana COVID-19.

Tidak perlu gusar apabila tidak dapat menunaikan solat terawih di masjid, kerana solat terawih boleh dilakukan sendiri di rumah bersama dengan keluarga, rakan atau bersendirian.

Bagi mereka yang pertama kali menjadi imam untuk solat terawih, ini 13 tips untuk imam-imam di rumah:

1. Elak makan terlalu banyak semasa berbuka

Semasa berbuka, makanlah dengan bersederhana dan elak daripada terlalu kenyang sehingga menjadi liat untuk bangun. Ini supaya apabila tiba waktu solat terawih, anda tidak berasa lesu sewaktu menjadi imam.

2. Ulang-ulang bacaan surah sebelum jadi imam

Perkara ini sering dibuat oleh imam-imam masjid sebelum bertugas. Walaupun mereka sendiri terdiri daripada tahfiz, ustaz dan sebagainya mereka masih lagi praktis bacaan surah untuk menghilangkan rasa was-was dan lupa.

3. Terus rukuk jika lupa surah

Jika sewaktu solat anda tidak ingat bacaan surah, terus rukuk. Jangan ulang-ulang jika tidak yakin dan tidak ingat surah tersebut. Ini untuk mengelakkan makmum dan anda sendiri jadi panik.

4. Utamakan bacaan al-Fatihah

Kebanyakkan imam yang baharu, mereka risau dengan bacaan surah selepas al-Fatihah kerana takut lupa. Tidak perlu risau kerana syarat sah solatnya adalah al-Fatihah. Bacaan surah seterusnya hanya sunat sahaja.

5. Baca surah Ahad (al-Ikhlas) pada rakaat kedua

Jika ini pertama kali anda menjadi imam solat Terawih, cukuplah jika anda membaca surah Ahad (Qulhuwallah) pada rakaat kedua. Ini boleh elakkan anda terlupa rakaat jika anda sudah tahu.

6. Elak baca mendayu-dayu

Sewaktu menjadi imam, elakkan baca secara mendayu-dayu untuk elakkan makmum jadi mengantuk.

7. Berpakaian sesuai

Sekiranyanya rumah tiada penghawa dingin, elakkan pakai pakaian yang tebal dan panas. Sebaliknya pakailah pakaian yang selesa untuk anda solat.

8. Dapatkan rehat dan air yang cukup

Semestinya untuk menjadi imam anda perlukan rehat yang secukupnya. Ini untuk elakkan anda terlena sewaktu sujud. Sediakan juga sebotol air jika perlu untuk diminum jika haus ketika solat.

9. Beri masa kepada makmum

Selepas membaca al-Fatihah, beri masa kepada makmum untuk membaca al-Fatihah pula. Selain itu, beri juga masa untuk mereka bangkit dari sujud kerana jemaah wanita dan orang tua perlu mengambil sedikit masa.

10. Gementar itu normal

Perasaan gementar sebelum menjadi imam itu normal, malah imam-imam di masjid juga pernah mengalaminya. Tarik nafas dan lakukan solat seperti biasa.

11. Tengok keadaan makmum

Lihat keadaan makmum sebelum berjemaah. Sekiranya terdapat makmum yang tidak boleh berdiri lama atau cepat letih, elakkan daripada membaca surah-surah panjang.

12. Solat di ruang yang lain dengan kucing

Jika di rumah anda mempunyai kucing, elakkan daripada solat di kawasan yang boleh dimasuki mereka. Ini untuk mengelak daripada gangguan si bulus yang suka masuk ke dalam kain solat kita dan baring di sejadah.

13. Baca doa iftitah pada rakaat pertama sahaja

Anda tak perlu baca doa iftitah pada setiap rakaat bernombor ganjil. Cukup hanya baca pada rakaat pertama. Pada rakaat nombor ganjil seterusnya, anda hanya perlu angkat takbir dan terus membaca al-Fatihah.

Semoga dengan perkongsian ini mampu memberi manfaat buat bakal imam di luar sana. Sekiranya sebelum ini kita mempunyai masalah untuk penuhi waktu solat terawih, inilah masa yang sesuai untuk kita cukup solat terawih sehingga tamat Ramadan.

Team Lejen Digital ingin mengucapkan selamat menyambut Ramadan Al-Mubarak kepada pembaca portal I Am Lejen.

Untuk membaca tips-tips lain yang pernah dikongsikan oleh kami, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca