Ingkar PKP, Wanita Ini Beri Alasan Mahu Bagi Rakan Lelaki Kek Batik

Akibat tidak mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), wanita ini dijatuhi hukuman penjara tujuh hari dan menerima denda sebanyak RM800 oleh Mahkamah Majistret pada hari ini.

Kisah ini bermula apabila pihak polis menemui kedua-dua tertuduh yang berusia 22 tahun itu di dalam sebuah kereta yang diletakkan di tepi jalan dalam keadaan enjin tidak dimatikan.

Namun, wanita itu memberikan alasan yang tidak munasabah ketika tangkapan dibuat iaitu dia ingin memberi rakan lelakinya makan kek batik yang dibuatnya.

Walau bagaimanapun, tindakan itu ternyata memakan dirinya sendiri apabila Majistret Ellyna Othman memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara dari tarikh dia ditangkap pada 18 April lepas.

Sekiranya tertuduh gagal membayar denda, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara selama dua bulan kepada wanita tersebut.

Sumber: Aliff.co

Memetik laporan Bernama, rakan lelakinya yang juga berumur 22 tahun itu pula dikenakan denda sebanyak RM1,000 atau penjara dua bulan.

Sementara itu, kedua-dua mereka yang dibacakan pertuduhan secara berasingan mengaku bersalah bergerak dari satu tempat ke satu tempat lain di dalam kawasan tempat jangkitan di Jalan SP1/8, Subang Perdana pada 9 malam 18 April lepas.

Wanita itu telah dijemput oleh rakannya sebelum mereka bergerak ke tempat kejadian yang terletak kira-kira 800 meter dari rumah wanita tersebut. Lelaki itu pula telah bergerak dari rumahnya yang terletak empat kilometer dari lokasi kejadian.

Walaupun peguam yang mewakili kedua-dua tertuduh itu memohon mahkamah menjatuhkan hukuman ringan kepada mereka, Timbalan Pendakwa Raya Nur Syazwanie Marizan pula berfikir sebaliknya.

Timbalan Pendakwa Raya itu menjelaskan bahawa hukuman yang dijatuhkan oleh mahkamah itu boleh bertindak sebagai pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat supaya tidak mengambil mudah perintah PKP.

“Tertuduh (wanita) telah beri alasan sangat tidak munasabah iaitu keluar dari rumah untuk jumpa tertuduh lelaki pada pukul 9 malam hanya untuk beri makan kek batik yang dibuat. Dalam tempoh PKP ini, masyarakat harus ambil serius perkara seperti ini untuk mengelakkan penularan COVID-19 daripada bertambah teruk,” katanya.

Kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020.

Mereka dihukum mengikut Peraturan 11(1) Peraturan sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM1,000 atau penjara maksimum enam bulan atau kedua-duanya sekali.

Semoga ini boleh jadi pengajaran kepada kita semua untuk mematuhi arahan kerajaan sepanjang tempoh PKP ini dilaksanakan.

Untuk membaca lebih banyak artikel berkaitan COVID-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca