Ingkar PKP, 13 Lelaki Termasuk Pemilik Kedai Gunting Ini Ditahan Akibat Curi-Curi Gunting Rambut

Seramai 13 individu termasuk pemilik kedai gunting rambut ditahan selepas didapati berkumpul tanpa alasan yang kukuh di sebuah kedai gunting rambut di Jalan Mengkuang, Butterworth.

Memetik laporan Astro Awani, kesemua lelaki warga tempatan berusia antara 17 hingga 24 tahun itu ditahan selepas gagal memberikan alasan munasabah.

Menurut Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor, polis menerima maklumat daripada orang awam berkenaan premis tersebut yang beroperasi secara sembunyi untuk perkhidmatan menggunting rambut sebelum serbuan dilakukan pada jam 3.30 petang tadi.

Siasatan awal mendapati pemilik kedai gunting itu menjalankan aktiviti menggunting rambut secara tertutup selepas kerajaan tidak membenarkan premis gunting rambut beroperasi.

“Dalam serbuan polis itu, kita telah tahan 13 orang yang disyaki berhimpun tanpa alasan dan dari siasatan mendapati, mereka datang untuk gunting rambut secara tertutup. Kami difahamkan bahawa tuan punya kedai telah membuka perniagaan dan membenarkan pelanggan masuk ke dalam kedai untuk gunting rambut, ujar beliau.

Ketika serbuan dilakukan, semua pelanggan berada di dalam kedai sambil menunggu giliran untuk menggunting rambut.

Kerajaan sebelum ini memutuskan kedai gunting rambut, salun kecantikan di seluruh negara tidak dibenarkan beroperasi sepanjang pelaksanaan PKP.

Jika disabit kesalahan, mereka ini boleh didenda atau dipenjara 1 tahun atau kedua-dua sekali.

Dalam perkembangan sama katanya, seramai 20 orang ditahan hari ini sejak pagi tadi kerana pelbagai kesalahan melanggar PKP di sekitar Butterworth.

Dalam pada itu, seluruh team Lejen Digital ingin mengambil kesempatan ini untuk menyeru orang ramai agar mematuhi perintah kerajaan untuk duduk di rumah dalam mengekang penularan virus COVID-19. Untuk baca artikel-artikel berkenaan Perintah Kawalan Pergerakan, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca