Jika sebut sahaja mengenai hotel terapung di atas air, anda pasti akan membayangkan imej vila-vila bulan madu ultra-mewah di Maldives. Dengan keunikan lantai kaca di mana para tamu boleh melihat ikan berenang di bawah kaki anda. Kalau ini yang sering anda bayangkan, apa kata anda bersama keluarga buat perancangan bercuti ke salah satu hotel terapung yang terdapat di Malaysia ini.
Di sana anda dapat melupakan segala beban kerja atau pelajaran, di sana juga anda boleh mendengar bunyi-bunyi daripada alam semulajadi serta dapat menghirup udara yang nyaman. Antara 6 hotel terapung di Malaysia adalah:
1. Avani Sepang Gold Coast
Penginapan di sana terasa cukup mewah dengan kemudahan spa, pusat kecergasan dan kolam renang infiniti yang telah disediakan. Anda juga boleh melawat ladang-ladang yang terdapat di sekitar hotel. Selain itu, di sana juga anda akan dikelilingi oleh pemandangan laut yang sangat menarik terutama sekali pada waktu matahari naik dan terbenam.
2. Seaventure Dive Rig
Buat anda yang menyukai aktiviti menyelam, Seaventure Dive Rig adalah sebuah destinasi yang boleh anda kunjungi. Anda akan mendapat bermacam pengalaman yang sangat menarik sepanjang tempoh bercutian kerana binaan hotel ini memang unik. Ia dibina di atas pelantar minyak.
3. Pangkor Laut Resort
Pangkor Laut Resort ini terletak di Selat Melaka. Untuk ke sana, anda perlu menaiki bot laju yang disediakan daripada Marina Island Pangkor yang mengambil masa selama 15 minit. Di resort ini, anda sekeluarga bukan setakat boleh snorkeling di laut, malah anda juga boleh bermandi-manda di 2 kolam renang yang disediakan.
4. Berjaya Langkawi Resort
Kalau anda mengidamkan sebuah penginapan dengan kesegaran hutan hijau setiap kali anda membuka mata, inilah resort yang tepat bagi anda. Berlatarbelakangkan hutan hijau yang kaya dengan hidupan liar, resort ini juga menyediakan perkhidmatan lawatan berpandu di mana anda akan diberikan penerangan tentang flora dan fauna di hutan hijau ini.
5. Gayana Eco Resort
Gayana Eco Resort terletak di pinggir laut Borneo. Untuk ke resort ini, anda perlu menaiki feri yang akan disediakan secara percuma dari Terminal Feri Kota Kinabalu. Di samping itu, air di resort ini juga sangat jernih dan membuatkan aktiviti snorkeling 10 kali ganda menyeronokkan kerana anda dapat melihat hidupan laut dengan jelas.
6. ST Regis Langkawi
ST Regis Langkawi adalah sebuah hotel yang menawarkan pemandangan matahari terbenam yang indah. Terletak berdekatan dengan keindahan hutan hujan yang menghijau serta dikelilingi keindahan laut yang memukau. Hotel ini juga turut menyediakan aktiviti air yang menarik seperti snorkeling dan scuba diving.
Mesti ramai yang tak menyangka sebenarnya Malaysia memiliki banyak hotel atau resort yang lain dari lain seperti hotel-hotel terapung ni kan? Ramai yang teringin untuk ke luar negara bagi menikmati alam semula jadi sebenar tetapi anda tidak perasan bahawa di Malaysia juga kaya dengan keindahan alam semulajadi.
Sumber: Bukanaku