Ingin Tahu Perasaan Bunuh Seseorang, Luahan Diari Gadis 15 Tahun Dedah Jenayah

Pada luarannya, Alyssa Bustamante, 15 kelihatan seperti mana-mana gadis remaja yang lain. Rata-rata rakan gadis itu berkata Alyssa merupakan seorang yang baik dan disenangi semua orang.

Walau bagaimanapun, perwatakan Alyssa di dunia realiti dan di alam maya diibaratkan sebagai langit dan bumi. Gadis itu ternyata mempunyai sisi gelap yang akhirnya berjaya menguasai dirinya. Hal ini menyebabkan gadis ini terjebak melakukan satu perbuatan jenayah terhadap anak jirannya.

Zaman kanak-kanak

Antara tahun 2002 dan 2009, Alyssa dibesarkan oleh datuk dan neneknya. Ibu gadis itu mempunyai rekod penyalahgunaan dadah dan alkohol mengakibatkan wanita itu sering berjauhan dengan keluarga. Bapa Alyssa turut berada dalam tahanan polis. Datuk dan nenek Alyssa telah mendapat hak penjagaan bagi gadis itu dan tiga orang adiknya yang lain. Mereka telah berpindah dari California ke sebuah kawasan pedalaman di St. Martins Missouri.

Walaupun mempunyai masalah keluarga, Alyssa kelihatan seperti gadis normal yang lain. Dia sering ke gereja untuk menyertai kerja-kerja sukarelawan.

Namun begitu, segalanya berubah pada tahun 2007 apabila Alyssa dikejarkan ke hospital akibat cubaan membunuh diri. Walaupun diberikan ubat, gadis itu tetap mengelar dirinya beberapa kali sehingga perkara itu disedari rakan-rakannya.

Di alam maya, Alyssa seolah-olah mempunyai personaliti yang berbeza. Di laman Twitter, Alyssa sering memberitahu kebenciannya terhadap pihak berkuasa. Malah, di akaun YouTube dan MySpace miliknya, Alyssa menyenaraikan membunuh dan mengelar sebagai salah satu hobinya. Gadis itu turut pernah memuatnaik video di YouTube dimana dia cuba memaksa dua adik lelakinya untuk menyentuh pagar eletrik.

Pembunuhan Elizabeth Olten

Elizabeth Olten, 9 tinggal berdekatan dengan rumah keluarga Bustamante. Kanak-kanak itu sering datang ke rumah untuk bermain bersama Alyssa dan adik-adiknya. Namun, pada malam 21 Oktober 2009, Elizabeth telah menghilangkan diri.

Kejadian bermula pada pagi hari yang sama ketika Elizabeth merayu pada ibunya untuk pergi bermain di rumah keluarga Bustamante setelah diajak oleh adik perempuan Alyssa. Ibu mangsa, Patty Preis mengizinkan dengan syarat Elizabeth harus pulang sebelum jam 6 petang.

Itu merupakan kali terakhir Patty melihat anaknya masih hidup.

Penangkapan Alyssa

Sehari selepas kehilangan Elizabeth, ejen FBI telah menemu bual Alyssa mengenai penemuan satu lubang cetek yang berada di belakang rumah keluarga gadis itu. Dengan bersahaja, gadis itu memberitahu ejen tersebut bahawa dia memang suka mengali lubang. Namun begitu, setelah bilik Alyssa digeledah, penemuan diari gadis itu membongkar rahsia kehilangan Elizabeth Olten.

Walaupun Alyssa cuba memadam satu catatan dalam diarinya, pihak penyiasat berjaya membongkar penulisan tersebut. Catatan itu berbunyi,

“Saya baru sahaja membunuh seseorang. Saya cekik, mengelar leher dan menikam dia hingga mati sebentar tadi. Saya tidak tahu apa yang saya rasa sekarang. Ia sungguh menakjubkan. Sebaik sahaja saya dapat melupakan perasaan ragu-ragu, ia menjadi agak menyeronokkan. Saya berasa agak resah sekarang. Baiklah, saya harus pergi ke gereja sekarang.”

Alyssa telah mengaku membunuh Elizabeth dengan mengcekik kanak-kanak itu sebelum mengelar leher dan menikamnya berulang kali. Alyssa turut telah menunjukkan kepada pihak polis di mana dia menanam mayat Elizabeth. Apabila disoal mengenai jenayah itu, Alyssa berkata dia membunuh Elizabeth hanya kerana dia berasa ingin tahu akan perasaan membunuh seseorang.

Alyssa telah melakukan satu permohonan maaf secara terbuka kepada keluarga Elizabeth. Menurut gadis itu, dia berasa sungguh kesal dengan apa yang telah terjadi. Gadis itu turut menambah bahawa dia sanggup menukar nyawanya dengan nyawa Elizabeth.

Namun begitu, Patty Preiss, ibu kepada Elizabeth berkata hukuman penjara 35 tahun dan lima bulan yang dijatuhkan ke atas Alyssa itu terlalu ringan. Wanita itu turut berkata dia tidak akan memaafkan Alyssa yang diibaratkan seperti raksasa kejam dan seseorang yang bukan manusia.

Mayat Elizabeth disemadikan di Hawthorn Memorial Gardens Jefferson City, Missouri, Amerika Syarikat. Orang ramai telah hadir ke majlis pengebumian tersebut untuk memberikan penghormatan terakhir.

Artikel Lain Untuk Di Baca