Ingin Menziarahi Jenazah Ibu Baru Meninggal, Wanita Maut Dalam Perjalanan

Ingin pulang menziarahi jenazah ibunya yang baru sahaja meninggal dunia di Kelantan, seorang wanita meninggal dunia dalam satu kemalangan jalan raya di Setiu, Terengganu.

Wanita tersebut, Nadia Fizatul Hanim Zamani, 23, yang berasal dari Pulai Chondong disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecedaraan parah di kepala. Dalam kemalangan pada pukul 7.15 pagi itu, mangsa yang duduk di tempat duduk penumpang bahagian depan tercampak keluar dari kenderaan terbabit.

Keadaan kereta Perodua Kancil mangsa yang terlibat dalam kemalangan. Sumber: Sinar Harian

Kata Salmie Arshad, 53, ibu saudara mangsa, mangsa bersama suami, Muhamad Nazirul Rameli, 23, bertolak dari Johor selepas mendapat khabar bahawa ibu mangsa, Nurul Ainon Yacob, 45, telah meninggal dunia pada jam 6 petang Sabtu akibat penyakit buah pinggang tahap empat.

Dalam perjalanan pulang untuk menziarahi jenazah ibu Nadia, pasangan pengantin yang baru mendirikan rumah tangga pada 17 Oktober lalu itu terlibat dalam satu kemalangan jalan raya di Jalan Air Sejuk, Setiu. Mangsa disahkan meninggal di tempat kejadian manakala suami menghadapi beberapa kecederaan dan kemudiannya dirawat di Hospital Setiu.

“Arwah mendirikan rumah tangga dengan pasangan pada bulan lalu dan baru juga mengetahui dia mengandung dua minggu.

“Pulang nak ziarah jenazah ibu yang meninggal kerana sakit kronik di kampung di Machang, tetapi dia pula menyusul. ALLAH menyayangi mereka berdua,” jelas Salmie kepada pemberita ketika dihubungi pada Ahad.

Salmie (kanan) berkongsi gambar arwah Nadia bersama suami.

Mendapat berita bahawa adiknya telah terlibat dalam kemalangan, abang mangsa, Muhammad Danial Hakim Zamani, 24, bergegas ke lokasi kemalangan namun dimaklumkan bahawa adiknya sudah meninggal dunia dan mayat dibawa ke Hospital Setiu.

Menurut Nurul Asiah, 47, ibu saudara mangsa, pada awalnya mereka merancang untuk mengebumikan ibu Nadia selepas waktu Zuhur tetapi memandangkan jenazah Nadia sudah dalam perjalanan pulang ke Machang setelah selesai autopsi di Hospital Setiu, mereka mengambil keputusan untuk mengebumikan dua beranak itu serentak.

“Alhamdulillah, pengebumian adik dan anak saudara saya lancar. Mereka dikebumikan dalam satu liang di Tanah Perkuburan Islam Bukit Ajil pada jam 3.15 petang,” katanya.

Arwah Nadia (kanan) dan ibunya (kiri) dikebumikan secara serentak di Tanah Perkuburan Islam Bukit Ajil

Untuk baca artikel-artikel yang berkaitan, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Artikel Lain Untuk Di Baca