Ingin Mengekalkan Awet Muda Pada Diri Anda? Ketahui Tips Dan Peranan Pemakanan Yang Dikongsikan Doktor Ini

Ramai yang keliru apabila dikatakan mengamalkan awet muda atau selalu kita sebut sebagai “anti-aging.” Adakah bermaksud kita akan kekal muda dan tidak menjadi tua? Apakah dengan mengamalkan beberapa petua awet muda, tarikh kematian kita ditangguhkan? Jawapannya tidak.

Sebenarnya awet muda (anti-aging) bermakna kita “tidak tua sebelum masanya.” Maksudnya, tubuh kita menjadi tua selari dengan usia kita. Oleh kerana itu, saintis di barat memperkenalkan “biological age” yang menunjukkan “umur sebenar tubuh kita” berdasarkan beberapa kriteria termasuk kesihatan dan kecergasan tubuh badan.

Jika masih keliru, pernah tak kita mendengar orang muda yang tidak mampu menandingi orang tua dalam melakukan kerja berat seperti berladang? Secara “biological age” atau umur biologi, umur lelaki muda itu lebih tua dari umur lelaki tua itu.

Umur kronologi adalah umur yang dihitung mengikut tahun semenjak seseorang itu dilahirkan. Jika saya dilahirkan pada tahun 1970, bermakna saya berumur 49 pada tahun 2019. Berbeza dengan umur biologi yang merupakan umur tubuh yang dihitung berdasarkan perkembangan seluruh sel dalam tubuh badan pada masa itu. Ini bermakna umur biologi saya tidak semestinya 49 tahun. Jadi, umur biologi saya boleh lebih muda atau lebih tua dari 49 tahun.

Berbalik kepada awet muda tadi. Sebenarnya awet muda bukan bermakna mahu kekal untuk menjadi muda. Mengamalkan awet muda hanya bermakna kita berusaha agar kita tidak tua sebelum waktunya. Umur biologi kita sama dengan umur kronologi kita. Kita tidak mendapat penyakit yang biasa dialami oleh orang yang lebih tua.

Secara mudah saya berikan contoh. Zaman dulu ramai orang tua yang mengalami masalah penyakit tekanan darah tinggi, apabila berumur 60-an. Tetapi sekarang ramai orang muda awal 30-an sudah mengalami penyakit yang sama. Mereka “tua sebelum masanya” dan inilah peranan “awet muda” untuk menghalang penyakit-penyakit yang sepatutnya dialami oleh orang tua.

Jadi bagaimana peranan pemakanan dapat membantu kita awet muda?

Dengan mengamalkan cara pemakanan yang betul, sudah tentu tubuh kita dapat melakukan metabolisme dengan betul. Ada makanan yang dijadikan sumber tenaga (untuk melakukan kerja), ada makanan yang digunakan sebagai rawatan dan ada makanan yang digunakan sebagai simpanan tenaga. Hal Ini akan memengaruhi perkembangan sel dalam tubuh badan, agar dapat berkembang secara optimum dan sihat.

Antara tips makanan yang membantu awet muda ialah:

1. Menerapkan pola pemakanan seimbang dan pelbagai

Kita memerlukan pelbagai nutrisi yang berbentuk vitamin, mineral, antioksida dan koenzim (larut minyak) yang dapat membantu kita sihat. Dengan mengambil pemakanan yang seimbang dan pelbagai membantu kita mendapat semua nutrisi yang diperlukan.

2. Mengawal kalori pemakanan

Mengawal kalori bukan bermaksud kita harus berdiet secara ketat. Mengawal kalori harus selari dengan keperluan nutrisi dan keperluan tenaga yang digunakan. Selalunya saya akan makan apabila saya benar-benar lapar dan bila makan, saya akan banyakan makan sayur dan buah. Saya juga pastikan nasi yang diambil hanya suku pinggan sahaja.

3. Mengambilkan omega 3 dan omega 6 yang seimbang.

Kita tahu bahawa dengan mengambil omega 3  dan omega 6 yang seimbang dapat membantu kesihatan otak dan jantung, dan membantu aktiviti sel menjalankan fungsinya secara optimum. Keseimbangan omega 3 dan omega 6 bermakna kadar omega 3 lebih banyak dari omega 6 atau sekurang-kurangnya dengan nisbah 3:1.

Secara mudahnya, saya selalu memberitahu pesakit saya agar menjaga pemakanan dengan mengawal pengambilan makanan secara sederhana, dengan cara makan apabila lapar sahaja dan pastikan ambil banyak sayur ketika makan. Selain itu, cuba pelbagaikan sumber protein, sayur dan buah-buahan.

Bagi mendapat omega 3 dan omega 6, banyakan makan ikan liar yang diperolehi dari laut dan sungai. Di samping itu, pengambilan minyak zaitun juga sebagai sumber omega 3 dan omega 6 yang seimbang.

Artikel Lain Untuk Di Baca