“Ingatkan Jadi Model Batik Malaysia, Rupanya Model Kuih Dan Aiskrim.” – Ismail Sabri

“Kreatif betul warganet, warna baju saya dah jadi hiasan kuih-muih,” demikianlah kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang terhibur dengan gelagat pengguna media sosial memadankan pemilihan warna baju batik dipakai beliau dengan pelbagai jenis kuih-muih dan hidangan pencuci mulut.

“Saya ingat saya jadi model batik Malaysia saja. Rupa-rupanya jadi model kuih dan aiskrim pula.

Terima kasih warganet kerana menghiburkan bukan sahaja saya tapi seluruh rakyat Malaysia,” kata beliau menerusi laman rasmi Facebook milik beliau.

Pada masa yang sama, beliau turut mengucapkan selamat berbuka dan bertanya sama ada rakyat Malaysia berbuka dengan kuih-muih tema bajunya itu.

Turut dikongsikan bersama hantaran itu adalah cantuman beberapa foto beliau mengenakan baju batik dengan kuih-muih yang seakan sama warnanya.

Kemunculan Ismail Sabri dalam sidang media harian Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang disiarkan secara langsung setiap jam dua petang itu sentiasa dinantikan orang ramai yang ingin melihat penampilan beliau.

Tinjauan kami setiap kali sidang media harian itu disiarkan mendapati bahawa rata-rata warganet akan meninggalkan pelbagai reaksi di ruangan komen.

Seorang pengguna Facebook yang menggunakan nama Cempaka Hass Li menyifatkan baju dipakai Ismail Sabri setiap hari ceria dan menjadi perhatian rakyat.

“Terbaik YB. Suasana jadi ceria tengok baju-baju YB setiap hari. Rakyat prihatin semua depa perhatikan,” katanya.

Seorang lagi pengguna laman sosial itu iaitu Anulae Mbip turut berkonsi pendapat yang sama di mana dia mengakui sentiasa menanti pelbagai baju batik yang dipakai Ismail Sabri ketika sidang media diadakan.

“Datuk pakai apa je pasti dinantikan oleh kami semua,” katanya.

Dalam pada itu, pengguna yang dikenali sebagai Ahmad Syahril Mahmudin pula bertanya kenapa sidang media Menteri Keselamatan itu tidak bersiaran seperti biasa pada semalam.

“Datuk Seri tak buat PC (sidang media) hari ini (semalam). Boleh tambah lagi koleksi kuih dan aiskrim,” coretnya.

Untuk baca artikel lain berkenaan kemas kini terbaharu COVID-19 di negara kita, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Artikel Lain Untuk Di Baca