Industri Pertahanan: Syarikat Tempatan Berpotensi Setaraf Dunia

Industri pertahanan di Malaysia berpotensi untuk berkembang dengan lebih luas di peringkat sejagat sekiranya mendapat sokongan daripada kerajaan.

Ini kerana langkah tersebut dapat mengurangkan kebergantungan negara terhadap teknologi asing.

Menurut kajian sebuah firma perunding penyelidikan tempatan MQ Consultant, keterlibatan dan sokongan tinggi kerajaan diperlukan bagi membolehkan syarikat tempatan menguasai pasaran luar.

Dari sudut perspektif ekonomi, membangunkan pemain tempatan mungkin melibatkan kos yang tinggi tetapi sebagai hasil, mereka bakal membantu negara mengurangkan kos import produk pertahanan.

“Dengan memiliki pengeluar-pengeluar tempatan, kebergantungan negara terhadap bekalan dari luar negara akan dapat dikurangkan dengan ketara.

Bahkan, dalam jangka panjang, Malaysia akan berupaya memiliki kapasiti sebagai pengeluar pertahanan untuk pasaran domestik dan antarabangsa.” dalam kenyataan rasmi MQ Consultant.

Industri pertahanan tempatan kini bukan lagi sekadar terlibat dalam kerja-kerja penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO).

Malah tugasan yang lebih canggih seperti reka bentuk dan pengeluaran dalam pelbagai sektor termasuklah aeroangkasa, automatif, maritim dan ICT turut dijayakan oleh industri Malaysia.

Sumber: M Update

Bermula dengan kesederhanaan, industri pertahanan Malaysia sebenarnya sudah menunjukkan kejayaan luar biasa dari segi sektor pengeluaran, penyelenggaraan dan pembekalan aset pertahanan kepada negara.

Salah satu projek utama dalam industri pertahanan negara ialah projek Kapal Tempur Persisir atau lebih dikenali sebagai Littoral Combat Ship (LCS) yang bernilai sebanyak RM8 bilion untuk kegunaan Tentera Laut Diraja Malaysia.

Industri pertahanan di negara ini bermula sejak 1976 dengan penubuhan AIROD bagi menyokong kerja-kerja penyelenggaraan Tentera Udara Diraja Malaysia.

AIROD kini diiktiraf sebagai organisasi MRO di seluruh dunia dan kekal menjadi pusat MRO aviasi terunggul negara.

Sehingga kini Malaysia telah membangunkan lebih 80 buah syarikat industri pertahanan.

Syarikat-syarikat berkenaan termasuklah Nadi Defence Industries Sdn. Bhd. dan dua anak syarikatnya iaitu SMEO, SMEA dan juga Weststar Defense Industries.

Terbaharu adalah MILDEF International Technologies yang menjadi contoh syarikat tempatan mengambil peluang membangunkan industri dan bersaing dengan syarikat-syarikat asing.

MILDEF kini memiliki kepakaran dalam bidang kajian dan pembangunan serta reka bentuk dan aplikasi.

Syarikat tersebut juga menjadi pakar dalam bidang penyelenggaraan (R&D) yang merupakan elemen yang sangat penting dalam pembangunan industri pertahanan.

Tambahan pula, MILDEF telah berjaya mereka bentuk dan menghasilkan Kenderaan Berperisai Bermobiliti Tinggi (HMAV).

Contoh lain hasil kepakaran tempatan ialah kereta perisai ACV-200 Adnan dan AV8-Gempita yang dicipta oleh DRB-HICOM DefenceTechnologies (DefTech).

Inilah kejayaan-kejayaan yang memperkukuhkan lagi keupayaan Malaysia ke fasa seterusnya dalam merevolusikan industri pertahanan negara dan menjadi pemain bertaraf dunia.

Untuk baca artikel-artikel berkaitan, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Artikel Lain Untuk Di Baca