Industri Penerbangan Dijangka Alami Kerugian Sebanyak RM360 Bilion Tahun Ini – IATA

Menurut Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA), syarikat penerbangan dijangka akan mengalami kerugian sebanyak AS$84.3 bilion (RM360 bilion) pada tahun ini dengan margin keuntungan bersih merosot kepada -20.1 peratus, manakala perolehannya akan turun sebanyak AS$419 bilion (RM1.8 trilion).

Pada tahun hadapan pula, IATA berkata kerugian dijangka akan turun kepada AS$15.8 bilion (RM67.5 bilion) dengan perolehan meningkat kepada AS$ 598 bilion (RM2.6 trilion).

Alexandre de Juniac

“Dari segi kewangan, tahun 2020 akan menjadi tahun terburuk dalam sejarah penerbangan.

“Secara purata, pada setiap hari tahun ini sebanyak AS$230 juta (RM982.3 juta) kerugian ditanggung industri tersebut. Secara keseluruhan, ia adalah kerugian AS84.3 bilion.”Ini bermakna berdasarkan anggaran 2.2 bilion penumpang tahun ini, syarikat penerbangan akan kehilangan AS$37.54 (RM160.33) bagi setiap penumpang.

“Itulah sebabnya bantuan kewangan oleh kerajaan adalah sangat penting kerana syarikat penerbangan mengalami kerugian,” kata Ketua Pengarah dan Ketua Pegawai Eksekutif IATA iaitu Alexandre de Juniac dalam satu kenyataannya.

Semua rantau diunjurkan akan mencatat kerugian tahun ini, Asia Pasifik mencatat kerugian bersih tertinggi iaitu sebanyak AS$29 bilion.

Beliau menyatakan kemerosotan tersebut mungkin akan berakhir jika tidak muncul gelombang kedua penularan COVID-19.

Perkara penting pemulihan itu adalah pelaksanaan untuk memulakan semula langkah-langkah yang dipersetujui dengan Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) bagi memastikan para penumpang dan kru penerbangan selamat.

Menurut de Juniac, pengesanan kontak yang berkesan juga mampu memberi keyakinan kepada kerajaan untuk membuka pintu sempadan tanpa perlu melaksanakan langkah kuarantin.

“Ia bahagian penting dalam pemulihan ekonomi kerana kira-kira 10 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dunia adalah daripada pelancongan dan sebahagian besarnya bergantung pada perjalanan udara.

“Pemacu utama ekonomi adalah bagi menggalakkan orang ramai melakukan perjalanan udara semula dengan selamat.”

Walau bagaimanapun, beliau berkata industri penerbangan dijangka akan mengambil tempoh yang lama untuk pulih. Ia sangat mencabar kerana faktor paras hutang, kecekapan operasi, kemelesetan ekonomi dan juga keyakinan.

“Orang ramai akan mahu melakukan perjalanan udara semula dengan syarat mereka mempunyai keyakinan terhadap keadaan kewangan peribadi mereka dan langkah-langkah yang diambil untuk menjaga keselamatan pengembara.

“Tiada jalan penyelesaian yang berkesan untuk pulih akibat daripada penularan COVID-19 tetapi rancangan ICAO menggariskan keharmonian global.

“Penting bagi industri dan kerana mengikutinya agar pengembara mendapat jaminan secara maksimum mengenai keselamatan mereka,” menurutnya.

Untuk baca artikel lain berkenaan kapal terbang, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca