“Indonesia Tidak Masuk Campur Urusan Muslim Uighur.” – Moeldoko

Baru-baru ini, Penasihat Presiden Indonesia ada menyatakan bahawa pihak mereka tidak akan campur tangan bagi sebarang dakwaan khususnya yang melibatkan penganiayaan kaum muslim Uighur di China.

Berdasarkan laporan pihak media TheJakartaPost, Ketua Staf Kepresidenan Indonesia yang bernama Moeldoko itu tidak hanya menyatakan bahawa kerajaan itu tidak perlu masuk campur urusan negara lain, malahan beliau turut menyifatkan konflik Uighur merupakan isu dalaman negara China.

Jelas Moeldoko, “Setiap negara mempunyai hak kedaulatan masing-masing untuk menguruskan rakyatnya sendiri, jadi kerajaan Indonesia tidak akan campur tangan dalam sebarang urusan dalaman di China.”

Sebagaimana yang terdapat dalam laporan sebelum ini, kerajaan China telah pun menafikan dakwaan yang menyatakan kerajaan tersebut melaksanakan penindasan terhadap etnik minoriti Uighur.

Sebaliknya, mereka mendakwa bahawa ‘kem tahanan’ yang dibangunkan adalah bertujuan sebagai tempat pendidikan semula dan latihan vokasional kepada etnik minoriti dan miskin di sana.

Walau bagaimanapun, Pengerusi Muhammadiyah Indonesia iaitu Haedar Nashir menegaskan bahawa kerajaan seharusnya bersikap adil dalam isu berkenaan meskipun memberikan kesan yang rumit terhadap hubungan Indonesia dengan negara lain.

Beliau juga berpendapat bahawa Indonesia perlu bertindak selaras dengan mandat Perlembagaan 1945 bagi mengekalkan keamanan dunia berdasarkan kemerdekaan dan keadilan sosial.

Bagaimanapun, Moeldoko tetap dengan pendiriannya iaitu kerajaan Indonesia tidak akan campur tangan dalam isu terbabit.

Untuk membaca artikel yang menyentuh isu penganiayaan etnik minoriti Uighur di China, sila klik pada pautan di bawah:

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca