Indonesia Hargai Usaha Malaysia Bantu Warganya Setiap Kali Ditimpa Musibah

Indonesia menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Malaysia yang sering membantu negara itu setiap kali ditimpa musibah bencana alam.

Memetik laporan Astro Awani, penghargaan itu disampaikan oleh Ketua Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB) Indonesia iaitu Doni Monardo kepada Duta Besar Malaysia di Indonesia, Datuk Zainal Abidin Bakar dalam satu pertemuan di ibu pejabat BNPB pada Rabu.

“Terima kasih kepada Malaysia melalui Duta Besar Datuk Zainal Abidin Bakar kerana telah banyak membantu Indonesia dalam rangka pemulihan atas rentetan kejadian bencana alam yang terjadi pada waktu dua dekad ini.”

“Mulai dari bencana gempa dan tsunami di Aceh (tahun 2004), gempa di Padang (2009), gempa di Nusa Tenggara Barat, gempa dan tsunami di Palu (2018) serta kebakaran hutan dan ladang,” kata Doni.

Dalam pertemuan yang sama, Doni turut menyentuh isu jerebu akibat kebakaran hutan dan ladang di Indonesia yang turut menjejaskan Malaysia pada Ogos dan September lalu.

Menurut Doni, Indonesia telah melakukan segala-galanya untuk menangani isu itu termasuklah menggiatkan usaha dalam operasi memadam, mencegah dan mengambil tindakan tegas terhadap individu atau syarikat yang melakukan pembakaran terbuka dengan sengaja.

Sementara itu, Zainal Abidin mengatakan bahawa Malaysia akan sentiasa menyokong Indonesia dalam menangani jerebu dan bersiap sedia membantu serta bekerjasama menangani isu kebakaran hutan itu.

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca