Indonesia Akan Beri Ganjaran Kepada Individu Yang Berjaya Cabut Tayar Dari Leher Buaya

Pihak berkuasa Indonesia menganjurkan pertandingan dan menawarkan ganjaran buat individu yang berjaya mengeluarkan tayar dari leher seekor buaya liar di Palu. Difahamkan, tayar tersebut tersangkut di leher reptilia malang itu.

Memetik laporan media tempatan, pertandingan itu diadakan selepas satu video memaparkan buaya berkenaan seakan-akan sukar bernafas akibat tayar motosikal yang tersangkut di lehernya menjadi tular di media sosial.

Menurut Ketua Agensi Pemuliharaan Sumber Alam Sulawesi Tengah (BKSDA) iaitu Hasmuni Hasmar, pihaknya juga tidak berjaya mencari jalan bagi membantu mengeluarkan objek tersebut yang dilaporkan tersangkut pada haiwan malang itu sejak beberapa tahun lalu.

“Kami akan memberi ganjaran kepada sesiapa sahaja yang berjaya mengeluarkan tayar tersebut dari leher buaya sepanjang empat meter itu,” ujarnya.

Jelas Hasmuni, pihaknya bimbang jika tayar tersebut akan membunuh reptilia itu secara perlahan-lahan.

Tambahnya lagi, baru-baru ini, lokasi keberadaan buaya itu berjaya dikesan dan gabenor wilayah berkenaan mengarahkan agensi pemuliharaan sumbernya untuk mencari cara paling berkesan bagi menyelamatkan haiwan terbabit selepas percubaan sejak beberapa tahun menemui jalan buntu.

Akhirnya, pihak berkuasa mengambil keputusan meminta pertolongan daripada orang ramai untuk melakukan tugas tersebut.

Sedar tentang risiko yang bakal dihadapi oleh para peserta, Hasmuni turut menegaskan bahawa pihaknya sama sekali tidak berniat untuk memanggil individu amatur, sebaliknya membenarkan pakar penyelamat haiwan liar untuk menyelamatkan buaya itu.

“Kami meminta agar orang awam tidak terlalu dekat dengan buaya itu atau mengganggu habitatnya,” kata Hasmuni.

Setakat ini, jumlah ganjaran yang bakal diberi kepada individu yang berjaya menyelamatkan buaya itu masih lagi belum didedahkan.

Terdahulu, kami pernah kongsikan pelbagai kisah menarik tentang reptilia bernama buaya ini. Anda boleh klik pada pautan di bawah untuk baca kisah-kisah tersebut:

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca