Pihak polis kini sedang mengesan individu yang menghina Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah
Difahamkan, pihak polis telah menerima satu laporan berkenaan kes penghinaan terhadap Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong.
Menurut Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman iaitu Datuk Huzir Mohamed, laporan tersebut menyebut kes penghinaan itu berlaku di laman Twitter.
“Siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 4 Akta Hasutan 1948 oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Huzir bagaimanapun tidak mengulas lanjut mengenai laporan itu. Namun begitu, ia dipercayai ada kaitan dengan beberapa pengguna Twitter yang bertindak melakukan buli siber ke atas Tuanku Permaisuri Agong dengan mengeluarkan komen biadap terhadap baginda. Tindakan itu dipercayai menjadi punca Tuanku Permaisuri Agong memilih untuk menyahaktifkan akaun Twitter baginda.