Bipolar Mania, juga dikenali sebagai kemurungan manik ialah salah satu jenis penyakit mental di mana pesakit akan mengalami tempoh kemurungan dan ketidaktentuan perasaan yang berlanjutan.
Semasa berada dalam keadaan mania, seseorang individu itu akan mempunyai semangat yang tinggi dan berasa gembira yang teramat atau sedih yang teramat. Pesakit mania juga sering membuat sesuatu tanpa berfikir panjang.
Bagi mereka yang mengalami bipolar mania, Keperluan untuk tidur biasanya berkurangan. Apabila kemurungan melanda, mereka mungkin akan menangis dan mempunyai tanggapan negatif tentang kehidupan.
Mengikut statistik, risiko bagi penyakit bipolar untuk membunuh diri adalah enam peratus lebih tinggi daripada orang lain. Selain itu, mereka juga sangat cenderung untuk mencederakan diri sendiri.
Bipolar mania merupakan penyakit membawa kepada maut jika dibiarkan berlarutan. Seseorang individu yang didiagnos dengan penyakit ini selalunya amat sukar menerima kenyataan ekoran simptom yang dialami tidaklah terlalu drastik. Kebiasaannya, pesakit akan enggan berjumpa pakar psikiatri kerana menganggap mereka normal dan tidak memerlukan terapi pesakit mental.
Semasa mengalami episod mania, seseorang yang mengalami gangguan Bipolar mungkin berasa teruja dan penuh bertenaga sehingga mereka terdorong untuk melakukan perkara yang tidak akan mereka lakukan ketika waras.
Apabila kemurungan melanda, pesakit mungkin mengalami kesedihan yang melampau-lampau, mudah putus asa, kurang tenaga, hilang minat terhadap aktiviti riadah atau hobi, kekacauan kitaran haid atau terlalu banyak tidur.
Penyakit Bipolar sering kali muncul pada masa akhir remaja atau awal masa dewasa. Kebiasaannya, ia akan menganggu mental mereka yang berusia bawah 25 tahun.
Berikut merupakan tiga jenis gangguan Bipolar mania.
1. Bipolar I
Bipolar I ditakrifkan melalui sekurang-kurangnya satu episod mania yang berlaku pada pesakit. Mereka yang mempunyai Bipolar jenis ini berkemungkinan akan mengalami episod-episod hipomanik atau depresi sebelum dan selepas episod mania.
Gangguan bipolar jenis ini kebiasaannya mudah terjadi kepada kedua-dua kaum lelaki dan wanita.
2. Bipolar II
Bagi mereka yang mempunyai Bipolar jenis ini pula, kebiasaannya, mereka akan mengalami satu episod kemurungan yang berlanjutan sekurang-kurangnya selama dua minggu dan hipomania yang boleh berlaku selama empat hari.
Kebanyakan pesakit yang mengalami Bipolar II adalah kaum wanita.
3. Cyclothymia
Bagi mereka yang didiagnos dengan Cyclothymia pula seringkali mengalami kedua-dua episod hipomania dan kemurungan. Namun begitu, simptom-simptom Bipolar jenis ini biasanya berlaku dalam hangka masa yang pendek dan kurang serius berbanding gangguan Bipolar I dan Bipolar II.
Kebiasaannya, pesakit Cyclothymia akan mengalami simptom penyakit ini selama satu atau dua bulan.
Kesimpulannya, masyarakat perlulah membantu golongan yang menghadapi masalah kesihatan mental. Penyakit seperti ini bukan sahaja memerlukan pesakitnya untuk berjumpa pakar psikiatri, mereka juga memerlukan sokongan orang ramai terutama sekali ahli keluarga dan rakan-rakan.
Penulis
1. Noor Azwanie binti Arifin adalah pelajar Fakulti Filem, Teater dan Animasi
2. Dr. Mohd Syuhaidi Abu Bakar adalah Timbalan Dekan Penyelidikan dan Jalinan Industri, Fakulti Filem, Teater
dan Animasi