Individu Berketurunan Melayu Rawa Dilarang Makan Buah Ini? Kenali 6 Jenis Pisang Yang Terdapat di Malaysia

Di Malaysia, terdapat lebih daripada 20 jenis pokok pisang yang terdiri dari pelbagai bentuk, ukuran dan juga rasa. Kegunaannya juga berbeza-beza bagi setiap jenis pokok pisang.

Pokok dan buah pisang mempunyai keunikan yang tersendiri. Teksturnya yang menarik menjadikan buah pisang antara sejenis buah yang mempunyai pelbagai kebaikan daripada pelbagai sudut.

Berikut merupakan enam jenis pisang yang terdapat di Malaysia:

1. Pisang merah

Menurut beberapa sumber lain, ada yang kata pisang merah atau pisang raja udang ini tidak boleh dimakan oleh mereka yang berketurunan Melayu Rawa. Pisang ini amat jarang dijumpai dan rasanya sangat sedap kerana terasa lemak manisnya.

Ketika buah ini masih muda, buah ini akan berwarna keungguan atau kemerahan seolah-olah udang yang sedang dibakar. Dari sinilah buah pisang merah mendapat nama. Pisang merah juga sering dikaitakan dengan kisah tahyul dalam masyarakat Melayu kuno zaman dahulu.

Pisang merah ini mempunyai khasiat dan keistimewaan yang tersendiri iaitu penambah tenaga kepada manusia. Jika anda sering melakukan aktiviti yang banyak menggunakan tenaga setiap hari, pastikan sarapan pagi atau sebelumnya itu anda akan mengambil dua ulas pisang sebagai penambah tenaga.

2. Pisang tanduk

Pisang tanduk mempunyai khasiat tertentu iaitu mengandungi potassium yang tinggi. Potassium merupakan mineral yang sangat diperlukan oleh badan kita. Dengan hanya mengambil satu hingga dua ulas pisang sehari, jantung kita akan berfungsi dengan lebih baik dan mencegah diri daripada diserang strok.

Pisang tanduk yang kaya dengan Vitamin B6 juga berfungsi untuk mengawal kadar gula dalam darah dan menyingkirkan asid amino dalam badan.

3. Pisang rastali

Pisang rastali mempunyai bentuk buah yang besar dan panjang tetapi sikatnya tidak banyak. Ia tidak sesuai untuk dimakan mentah namun enak apabila digoreng bersalut dengan tepung.

4. Pisang awak

Pisang awak mempunyai sejenis pokok yang tinggi dan menghasilkan buah yang banyak. Buah pisang awak sedap apabila digoreng dan dimakan bersama dengan sambal kicap, dibuat lepat pisang, nagasari, pengat dan pisang salai. Ianya juga boleh direbus dan dimakan bersama kelapa parut. Apabila dibuat kerepek, pisang awak sangat sesuai.

Tahukah, anda? Pisang awak mampu membantu pencernaan dan terhindar daripada penyakit lambung yang boleh menyebabkan rasa terbakar di dada. Gejala penyakit ini selalu diduga sebagai serangan jantung. Untuk mengatasi dan mengurangkan sakit ini, individu dinasihatkan untuk mengambil buah pisang awak setiap hari.

5. Pisang Toman

Rupa bentuk pisang ini mungkin pernah dilihat meskipun namanya mungkin mungkin kedengaran janggal. Kulit pisang yang berwarna hijau dan kuning pucat ini akan mudah tertanggal setiap kali dikupas apabila sudah masak. Rasa manis dan segar menmbuatkan pisang toman sesuai dijadikan sebagai bahan kuih atau kek.

6. Pisang emas

Buah ini mengandungi gizi seperti karbohidrat, vitamin dan juga mineral. Pisang emas berupaya dijadikan sebagai pembersih wajah, mengatasi masalah sembelit, membantu menjaga mood dan meningkatkan daya penglihatan.

Rumusnya, buah pisang mempunyai kebaikan dan manfaat yang tersendiri. Marilah bersama-sama amalkan pengambilan buah ini agar kesihatan diri lebih terjamin.

Penulis

  • Sunartee Binti Saimi adalah pelajar daripada Fakulti Filem, Teater dan Animasi.
  • Dr. Mohd Syuhaidi Abu Bakar adalah Timbalan Dekan Penyelidikan dan Jalinan Industri, Fakulti Filem, Teater dan Animasi.
  • Artikel Lain Untuk Di Baca