India Melarang Eksport Gandum Berkuat Kuasa Serta-Merta, Ini Berikutan Inflasi Dan Peningkatan Harga Makanan

India melarang eksport gandum berkuat kuasa serta-merta pada hari ini. Hal ini berikutan gelombang haba akibat cuaca panas terik menjejaskan hasil tanaman dan harga tempatan yang mencecah rekod paras tertinggi.

Walau bagaimanapun, Kerajaan India menjelaskan bahawa pihaknya masih membenarkan eksport membabitkan surat kredit yang sudah dikeluarkan atas permintaan negara yang berusaha memenuhi keperluan keselamatan makanan mereka.

Pembeli global mengharapkan negara pengeluar gandum kedua besar di dunia ini untuk bekalan gandum, selepas eksport dari wilayah Laut Hitam merudum susulan krisis dunia yang melibatkan pencerobohan Russia terhadap negara jirannya.

Sebelum penguatkuasaan larangan itu, India menyasarkan untuk mencatat rekod eksport 10 juta tan gandum pada tahun ini.

Namun demikian, larangan eksport oleh India itu boleh mengakibatkan harga global melonjak ke paras baharu, sekali gus menjejaskan pengguna miskin di Asia dan Afrika.

Tambahan pula, peningkatan harga makanan dan tenaga mendorong inflasi runcit tahunan India melonjak ke paras tertinggi dalam tempoh lapan tahun pada April lalu.

Hal ini mengukuhkan pandangan ahli ekonomi bahawa Bank Pusat perlu menaikkan kadar faedah secara lebih agresif untuk mengekang harga.

Harga gandum di India meningkat kepada rekod tertinggi, dengan beberapa pasaran mencecah 25,000 rupee iaitu RM1,418 per tan, berbanding harga sokongan minimum ditetapkan kerajaan sebanyak 20,150 rupee bersamaan RM1,143. 

Untuk baca artikel-artikel berkaitan, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca