Impian Jadi Kenyataan, Sumbangan Orang Ramai Bantu ‘Budak Petai’ Lanjut Pengajian Di USM

Sebelum ini, kisah seorang anak muda yang terpaksa membantu ibunya menjual petai demi mencari wang bagi menampung kos yuran kemasukan ke Universiti Sains Malaysia (USM) tular di media sosial.

Ternyata, kisah tular itu mendatangkan tuah apabila ia mendapat perhatian masyarakat Malaysia yang berpusu-pusu menyalurkan bantuan kepadanya.

Pada Isnin lepas, lelaki yang dikenali sebagai Muhammad Izzat Amran Ibrahim itu akhirnya berjaya menyambung pelajarannya di universiti tersebut dalam jurusan Perumahan, Bangunan dan Perancangan (Teknologi Bangunan).

Muhammad Izzat yang berusia 20 tahun itu mengatakan bahawa dia sangat terhutang budi kepada semua pihak yang membantunya bagi merealisasikan impiannya untuk melanjutkan pelajaran di menara gading.

Difahamkan, Muhammad Izzat pada mulanya merancang untuk menangguhkan pengajian gara-gara kekangan wang, namun dengan keprihatinan rakyat Malaysia, impiannya kini menjadi kenyataan.

“Saya amat bersyukur kerana dengan bantuan orang ramai, saya dapat membayar yuran pendaftaran dan hari ini (Isnin), saya sudah mendaftar untuk menyambung pelajaran di USM. Saya amat gembira dan terharu kerana orang ramai sudi bantu saya. Walaupun saling tidak mengenali, mereka sudi membantu.”

“Saya tidak dapat membalas jasa baik dan budi mereka, hanya Allah sahaja yang akan membalasnya. Saya tidak akan sia-siakan peluang ini dan berazam belajar bersungguh-sungguh untuk mencapai impian saya sekali gus membantu keluarga di kampung,” katanya seperti yang dilaporkan Sinar Harian.

Muhammad Izzat merupakan anak penoreh getah di Kampung Limau Kasturi 1, Gua Musang yang begitu gigih mencari wang bagi merealisasikan impiannya dengan membantu ibunya menjaja petai dan sayuran kampung.

Pada masa yang sama, dia juga mahu membantu ibu bapanya menambah pendapatan dan perbelanjaan keluarga memandangkan 10 lagi adik-beradiknya masih bersekolah.

Muhammad Izzat yang mahu menjadi perancang bangunan suatu hari nanti berkata, dia ditemani bapa saudaranya yang tinggal di Bayan Lepas ketika hadir ke pendaftaran pelajar baharu USM.

“Ibu dan bapa tak dapat hadir. Dari Kelantan, saya naik bas seorang diri semalam (Ahad). Saya tumpang tidur di rumah bapa saudara dan hari ini (Isnin) terus datang USM untuk mendaftar.”

“Walaupun ibu bapa tak dapat datang, tetapi semangat mereka sentiasa bersama saya. Mereka hanya pesan belajar bersungguh-sungguh demi masa depan. Saya juga mengambil semangat abang dan adik yang kini kedua-duanya sedang belajar di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Machang,” katanya.

Berikutan kisahnya mendapat liputan media, ramai yang menegur Muhammad Izzat ketika sesi pendaftaran.

“Pada mulanya kekok juga bila dipanggil ‘budak petai’, tetapi saya anggap ia sebagai peluang bagi mendapat kenalan baharu di sini.”

“Saya juga akan pertimbangkan mahu bekerja sambilan bagi menampung perbelanjaan sepanjang pengajian,” katanya.

Muhammad Izzat merupakan antara 4,684 pelajar baharu yang mendaftar di USM sidang akademik 2019/2020 Saluran Kemasukan Khas yang turut berlangsung serentak di kampus Nibong Tebal dan Kubang Keriang, Kelantan.

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca