Ikuti Norma Baharu, UiTM Perkenal Konvokesyen Secara Janji Temu

*Gambar di atas hanya sekadar hiasan.

Universiti Teknologi Mara (UiTM) kini melaksanakan penganugerahan diploma dan ijazah secara janji temu bagi menjaga keselamatan, kesihatan, kebajikan dan keselesaan para graduan, ibu bapa serta seluruh warga yang terlibat.

Naib Canselor UiTM, Prof Emeritus Datuk Ir. Dr. Mohd Azraai Kassim menjelaskan bahawa pihak pengurusan tertinggi UiTM mengambil langkah tersebut berikutan pandemik COVID-19 masih berleluasa dan peningkatan kes yang tidak menentu.

Selepas menyedari hakikat ini, pihak Pengurusan Tertinggi UiTM melakukan yang terbaik dalam memenuhi hasrat para graduan untuk mempunyai kenangan konvokesyen dalam suasana norma baharu.

“Janji Temu yang diperkenalkan ini telah mengambil kira pelbagai aspek keselamatan, kebajikan, kesihatan dan keselesaan (4K) dengan merujuk Prosedur Operasi Standard (SOP) Kementerian Kesihatan Malaysia, Majlis Keselamatan Negara dan Kementerian Pengajian Tinggi,” ujarnya.

Walaupun penganugerahan diploma dan ijazah adalah secara janji temu, Mohd Azraai berkata graduan masih berpeluang memakai jubah konvokesyen, merakamkan gambar kenangan dan menerima skrol serta transkrip sama seperti istiadat konvokesyen secara konvensional.

Dalam pada itu, sesi penganugerahan ini akan dijalankan bermula dari 7 November 2020 sehingga 9 Januari 2021 (tertakluk kepada pindaan) di UiTM Shah Alam dan seluruh Kampus Cawangan berdasarkan pemilihan kampus terdekat oleh para graduan.

Penganugerahan diploma dan ijazah secara janji temu dalam norma baharu ini adalah untuk menggantikan Istiadat Konvokesyen UiTM pada tahun ini yang lazimnya dilaksanakan dua kali setahun.

Pada pendapat anda, adakah istiadat konvokesyen secara janji temu ini merupakan satu pilihan yang tepat?

Untuk baca artikel-artikel berkaitan, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca