Search
Close this search box.

Ikon Bola Sepak Brazil, Pele Meninggal Dunia Pada Usia 82 Tahun

Dianggap sebagai pemain terhebat sepanjang zaman, ikon bola sepak Brazil iaitu Pele telah menghembuskan nafas terakhirnya pada usia 82 tahun.

Memetik laporan Sky Sports, Pele atau nama sebenarnya Edson Arantes do Nascimento meninggal dunia di Hospital Israelita Albert Einstein di Sao Paulo, Brazil.

Kesihatan Pele semakin merosot selepas beliau bertarung dengan masalah buah pinggang dan kanser kolon serta menjalani pembedahan kali terakhir pada September 2021 diikuti dengan kemoterapi.

Sumber: Instagram @pele

Anak perempuan Pele iaitu Kely Nascimento mengesahkan pemergian mendiang di laman Instagram dengan berkata, “Terima kasih atas segala-galanya kepada anda.

Kami sayang anda tidak terhingga. Berehatlah dengan tenang,” tulisnya.

Pihak hospital yang merawat Pele berkata dalam satu kenyataan bahawa bekas penyerang itu menghembuskan nafas terakhir kerana kegagalan pelbagai organ selepas sekian lama bertarung dengan kanser.

Sumber: Football Whispers

Untuk membantu keluarganya yang miskin, Berita Harian melaporkan Pele membesar dengan menjual kacang tanah di jalanan.

Sudah menyerlahkan pesonanya sejak berusia 15 tahun apabila beliau mula bermain secara profesional bersama Santos FC, Pele mengetuai kelab itu dengan memenangi pelbagai gelaran.

Ketika bermain bersama Santos FC, Pele mengetuai kelab itu untuk memenangi Piala Antara Benua berturut-turut dengan menewaskan Benfica pada 1962 dan AC Milan pada 1963.

Digelar O Rei (Raja), Pele merupakan satu-satunya pemain yang berjaya menjulang trofi Piala Dunia sebanyak tiga kali bersama Brazil iaitu pada tahun 1958, 1962 dan 1970.

Dinobatkan sebagai atlet abad ini oleh Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) pada tahun 1999, Pele telah menjaringkan 1,281 gol dalam 1,363 penampilan sebelum bersara pada 1977.

Seluruh Team Lejen Digital mengucapkan salam takziah kepada keluarga mendiang.

Semoga seluruh keluarga Pele diberikan kekuatan dan ketabahan untuk menghadapi dugaan ini.

Untuk baca artikel-artikel berkaitan, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Artikel Lain Untuk Di Baca