Ikhtiar Dalam Mencari Rezeki, Warga Emas Ini Nekad Menjadi Pemandu Grab

Baru-baru ini, tular mengenai kisah seorang wanita lanjut usia yang gigih mencari rezeki bagi menampung kehidupan harian keluarganya.

Pada usia yang sepatutnya sudah tentu berada di zon selesa, wanita ini nekad menggalas tanggungjawab sebagai ketua keluarga dengan bekerja menjadi pemandu Grab demi menyara perbelanjaan perubatan suami dan anaknya.

Kekuatan wanita ini bersama-sama anak bongsunya, Mohd Firdaus, 27 tahun dalam mencari rezeki didorong oleh rasa ihsan ke atas nasib yang menimpa suami dan anak sulungnya.

Difahamkan, suami kepada wanita ini menghidap penyakit kanser usus dan glaukoma, manakala anak sulungnya bernama Zulfaizan Umar, 31 tahun pula merupakan orang kelainan upaya (OKU).

Sejurus selepas suaminya disahkan menghidap penyakit berkenaan, Misnah pantas berusaha mencari kerja bagi menampung kehidupan mereka sekeluarga.

Terdapat pelbagai jenis pekerjaan yang dimohon oleh Misnah semasa itu. Namun begitu, wanita ini mengalami kesukaran untuk diterima bekerja berikutan umurnya yang sudah lanjut.

Wanita ini kemudiannya dicadangkan oleh suaminya, Umar Kari, 62 tahun untuk bekerja sebagai pemandu Grab. Misnah bersetuju dan membuat permohonan lalu terus diterima bekerja.

Mengikut perkongsian kisah yang dilaluinya, wanita ini turut menyatakan bahawa ramai pelanggan yang terkejut apabila melihat dia bekerja sebagai pemandu Grab.

Hal ini disebabkan oleh rasa hairan dengan wanita seusianya yang masih lagi bekerja, lebih-lebih lagi sebagai pemandu.

Jelasnya lagi, dia langsung tidak kisah untuk bekerja pada usia tersebut berhubung sudah terbiasa mencari rezeki sejak muda lagi.

Bukan itu sahaja, Misnah turut memaklumkan bahawa dia sudah lama memiliki lesen memandu sejak 40 tahun yang lalu. Maka, tidak begitu sukar untuknya bekerja di atas jalan raya.

Kisah pengorbanan Misnah menjadi tular berikutan seorang komposer dan pengacara terkenal tanah air, Fedtri Yahya mengambil dan memuat naik gambar wanita itu sewaktu menggunakan khidmat Grab tersebut.

Menerusi status yang dimuat naik dalam Facebooknya, Fedtri dilihat menyeru warganet untuk menghulurkan bantuan seikhlas mungkin kepada wanita tersebut sekiranya berpeluang menjadi salah seorang daripada pelanggan perkhidmatan Grabnya.

Berkenaan dengan jumlah pendapatan yang diraih, Misnah menjelaskan bahawa hasil pencariannya tidak banyak seperti di negeri-negeri lain. Maka, rezekinya bergantung kepada musim-musim tertentu seperti waktu cuti umum dan sebagainya. Namun, apa yang diperoleh cukuplah sekadar menampung perbelanjaan harian mereka sekeluarga.

Semoga Allah sentiasa memberikan rezeki yang melimpah ruah kepada Puan Misnah dan keluarga.

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca