“Ibu Tidak Ambil Dadah”, Puteri Balqis Bidas Kenyataan Nabila Huda Dan Warganet

Kecoh di media sosial baru-baru ini mengenai pelakon cilik, Puteri Balqis yang kini giat menjual buku puisi bertajuk 38 poem of Puteri Balqis yang ditulisnya sendiri di sekitar bandaraya Kuala Lumpur bersama ibunya.

Walau bagaimanapun, kehidupan baharu remaja berusia 13 tahun itu dikecam sesetengah pihak yang menyoal keberadaan orang tuanya sehingga dia harus berniaga di jalanan meskipun sedang sakit.

Selebriti terkenal tanah air, Nabila Huda turut tidak terkecuali dalam menyuarakan pendapatnya mengenai isu berkenaan menerusi akaun Twitter miliknya.

Susulan daripada kenyataan itu, ramai warganet membuat spekulasi mengenai ibu Puteri Balqis yang didakwa membiarkan dirinya berseorangan mencari rezeki bagi menampung kehidupan mereka dua beranak.

Isu berkenaan menjadi tular di media sosial sehingga Puteri Balqis sendiri terpanggil untuk mengeluarkan kenyataan mengenai perkara yang berbangkit ini di laman sosial Instagram miliknya.

https://www.instagram.com/p/B7UXcBnhSMK/?utm_source=ig_web_copy_link

Menerusi akaun Instagram miliknya, pelakon cilik yang pernah memenangi Anugerah Pelakon Wanita Popular Drama Anugerah Skrin 2014 itu memohon semua pihak dan artis terkenal, Nabila Huda untuk tidak mempertikaikan apa-apa mengenai ibunya.

“Buat auntie Nabila Huda, Puteri minta jangan dipersoalkan tentang ibu Puteri. Laman media bukan untuk itu, auntie,” katanya.

“Ibu Puteri telah menghabiskan wang berpuluh ribu untuk mencari jalan menyelamatkan Puteri. Ibu Puteri adalah satu-satunya saksi kepada keperitan Puteri.”

“Ibu satu-satunya ahli keluarga yang tak pernah tidak bekerja, dari dulu sentiasa buat macam-macam. Di set penggambaran pun jual asam, jeruk, meniaga sana sini. Dia terpaksa berhenti bekerja sebab Puteri selalu sakit.”

“Ujian untuk ibu ialah kesusaan, ujian untuk auntie ialah kemewahan,” tulis Puteri Balqis lagi.

Selain itu, Puteri Balqis juga menafikan dakwaan bahawa ibunya terlibat dengan penyalahgunaan dadah. Ujarnya, fizikal wanita berkenaan yang kurus adalah disebabkan beberapa masalah kesihatan lain.

Tegasnya lagi, ibunya tidak pernah memaksa dirinya untuk berniaga di jalanan. Perkara itu berlaku atas kehendaknya sendiri yang mahu meringankan beban orang tua.

Menerusi posting di akaun Instagram itu juga, Puteri Balqis mengumumkan dia tidak akan berada dalam industri hiburan lagi selepas ini.

Kisah hidup Puteri Balqis yang pernah membintangi beberapa drama televisyen seperti Akulah Balqis menjadi buah mulut orang ramai selepas dia dan ibunya, Norasikin Mohd Aziz berulang-alik dari rumah mereka di Setia Alam, Selangor ke beberapa lokasi di ibu kota untuk menjual buku puisi yang dihasilkan bagi menampung kehidupan seharian.

Untuk membaca artikel lain berkaitan selebriti tanah air, sila klik pada pautan di bawah:

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca