Ibu Termuda Dalam Sejarah, Ini Kisah Lina Medina Yang Melahirkan Bayi Pada Umur 5 Tahun

Pada awal musim bunga tahun 1939, satu keluarga yang berasal daripada sebuah perkampungan terpencil di Peru telah datang berjumpa dengan seorang doktor di hospital. Si ibu menyatakan kerisauan terhadap anak gadisnya yang mempunyai perut yang sangat besar. Wanita terbabit mendakwa anaknya itu mungkin mempunyai sejenis ketumbuhan.

Namun begitu, hasil pemeriksaan membuktikan sebaliknya. Anak wanita itu, Lina Medina sebenarnya sedang mengandung tujuh bulan. Enam minggu kemudian, gadis tersebut telah selamat melahirkan seorang bayi lelaki seberat 2.75 kilogram pada usia yang sangat muda iaitu lima tahun dan tujuh bulan. Hal ini menyebabkan Lina telah menjadi ibu paling muda dalam sejarah dunia.

Akil baligh yang aneh

Kisah kelahiran Lina Medina ini ternyata mendatangkan kejutan buat sesiapa sahaja yang membacanya. Namun, bagi sesetengah doktor pediatrik, kes seperti ini tidaklah terlalu aneh.

Menurut kajian, satu dalam 10,000 kanak-kanak dilahirkan dengan satu kondisi yang dikenali sebagai ‘precocious puberty’ atau secara literalnya bermaksud akil baligh yang aneh. Keadaan ini menyebabkan badan kanak-kanak terbabit akan mencapai kematangan seksual sebelum mencecah usia lapan tahun.

Dianggarkan, kanak-kanak perempuan lebih cenderung untuk dilahirkan dengan keadaan ini berbanding kaum lelaki. Salah satu faktor yang mungkin mengundang kepada peratusan ini adalah kerana pendedahan kepada sentuhan seksual pada usia yang terlalu muda.

Satu analisis menegaskan bahawa Lina mungkin sudah mendapat haid seawal usia lapan bulan selepas dilahirkan. Tetapi, laporan lain ada mengatakan bahawa Lina mula mengalami haid ketika berusia tiga tahun.

Pemeriksaan lanjut pada kanak-kanak terbabit mendedahkan bahawa dia sudah mempunyai payudara, pinggul yang lebih lebar daripada kanak-kanak seusianya dan pertumbuhan tulang yang matang.

Jadi, walaupun pada zahirnya Lina kelihatan seperti kanak-kanak lima tahun, badannya sudah seperti seorang wanita.

Identiti si bapa

Sebaik sahaja kes Lina Medina ini tersebar, pihak surat khabar berpusu-pusu mahu menemu ramah kanak-kanak itu.

Beberapa pihak media telah menawarkan keluarga Lina wang sebanyak ribuan dollar semata-mata untuk merakam dan menemu bual kanak-kanak sensasi itu. Namun begitu, semuanya ditolak serta-merta.

Kisah gadis kecil ini juga telah menimbulkan pelbagai kontroversi berikutan ramai yang tertanya-tanya siapakah bapa kepada anak yang dilahirkan Lina itu. Rata-rata berpendapat bahawa Lina telah menjadi mangsa pemerkosaan bapanya.

Pihak berkuasa pernah menahan bapa Lina, Tiburelo yang bekerja sebagai seorang tukang besi. Namun begitu, Tiburelo dibebaskan selepas kekurangan bukti.

Sehingga kini, tiada siapa tahu gerangan bapa kepada anak lelaki Lina tersebut.

Hidup selepas dinobatkan ibu paling muda

Lina Medina sepertinya telah mendapat penjagaan yang baik walaupun perkhidmatan perubatan pada masa itu tidaklah seperti masa kini.

Bayi yang dilahirkan melalui pembedahan caesaran itu dinamakan Gerardo sempena nama doktor yang menyambut kelahirannya.

Walau bagaimanapun, Gerardo membesar dengan tanggapan bahawa Lina adalah kakak sulungnya. Kebenaran tentang identiti Lina hanyalah diketahui Gerardo semasa dia berusia belasan tahun.

Pada tahun 1979, Gerardo telah disahkan meninggal dunia pada usia 40 tahun.

Bagi Lina pula, dia berjaya membesar seperti kanak-kanak yang lain. Pada usia 39 tahun, Lina telah melahirkan anaknya yang kedua hasil daripada perkahwinannya dengan seorang lelaki bernama Raul.

Difahamkan, Lina yang kini sudah berusia 86 tahun masih lagi menetap di negara kelahirannya, Peru.

Artikel Lain Untuk Di Baca