Seorang wanita bernama Brittany Nicole Lippincott berusia 29 tahun mengaku bersalah atas tuduhan mengabaikan kebajikan anak kandungnya sendiri.
Pesalah yang berasal dari West Virginia ini bertindak kejam terhadap darah dagingnya kerana tidak memberi kanak-kanak tersebut makan dan minum sehingga kebuluran. Bukan itu sahaja, pelaku turut mencederakan alat sulit mangsa sehingga luka.
Baru-baru ini, seorang pegawai kebajikan berjaya menyelamatkan kanak-kanak berkenaaan. Mangsa ditemukan dalam keadaan separuh bogel dengan kesan lebam pada wajah dan kecederaan di kemaluannya.
Badan mangsa kelihatan amat kurus sehingga memperlihatkan bentuk tulang rusuk di tubuhnya. Apabila disoal, kanak-kanak tersebut mengatakan bahawa ibunya mencederakan dia menggunakan playar.
Kemudian mangsa turut memaklumkan bahawa dirinya dibiarkan kelaparan kerana hanya dipaksa duduk dan melihat sahaja pelaku menikmati makanan di meja. Jelasnya lagi, dia sering dimaklumkan oleh ibunya bahawa giliran untuk dia makan belum lagi tiba.
Menurut laporan Mirror, berat badan kanak-kanak tersebut hanya 10 kilogram sahaja. Sepanjang mangsa tinggal bersama ibunya, kanak-kanak itu sentiasa dikurung dan dikunci dalam ruangan biliknya.
Pihak mahkamah menyatakan bahawa mangsa telah menerima rawatan selama seminggu di hospital sejurus selepas ditemukan oleh pegawai berkuasa. Malahan, keadaan fizikal dan mental mangsa juga dilaporkan semakin pulih setelah tinggal berasingan dengan pelaku.
Lebih mengejutkan apabila hasil siasatan mendapati bahawa ibu kepada mangsa merupakan seorang pengedar dadah. Jualan barangan haram itu dilakukan terus daripada kediamannya.
Pihak berkuasa menemukan sebuah alat penimbang digital berserta beg plastik berisi serbuk putih yang dipercayai sejenis dadah. Bukan itu sahaja, sebatang penyedut minuman turut ditemukan sewaktu pemeriksaan kediaman dilakukan.
Wanita tersebut akhirnya mengaku bersalah kerana gagal menjalankan tanggungjawabnya sebagai seorang ibu untuk memenuhi keperluan perubatan dan nutrisi yang cukup kepada mangsa.
Pelaku kini dikatakan sedang menanti laporan pra-hukuman daripada pihak mahkamah untuk menjalani denda atau balasan yang setimpal dengan perbuatan kejamnya itu.