Ibu Dirodok Komunis Di Depan Mata, Wanita Tua Ini Jadi Saksi Pembunuhan Ahli Keluarganya

Masih jelas terbayang di kotak memori saat ibunya ditikam dan dirodok dengan sebatang lembing milik komunis, senjata-senjata yang bersepah seperti kayu api di halaman rumah, rayuan ibunya serta tangisan bayi yang isi perutnya terkeluar sejengkal dek ditikam komunis.

Tik Sulong, 89, menjadi saksi bagaimana ibunya Temun Manang, adik lelakinya yang berusia dua tahun dan seorang anak saudara lapan tahun ditikam dengan lembing di hadapan mata.

Kediamannya pula dibakar komunis sehingga mengorbankan abang ipar dan anak saudaranya yang lain dalam kejadian pada jam 6 pagi Sabtu, 10 Jun 1945 di Parit Sulong di Batu Pahat, Johor.

Wanita ini pasti akan mengalirkan air mata setiap kali mengingati kekejaman dan kezaliman yang dilakukan komunis terhadap keluarganya ketika itu. Sebak yang tidak terkira.

Tik menceritakan bahawa ketika tragedi itu berlaku, ayahnya Sulong Mohammad tiada di rumah dan berada di kebun untuk memantau kerja-kerja menuai padi yang dilakukan pekerja-pekerja upahan.

Ketika itu Tik berusia 15 tahun dan sedang membantu ibunya menyediakan pisang goreng untuk sarapan pagi. Tiba-tiba mereka dikejutkan dengan bunyi ketukan yang bertalu-talu diiringi bunyi tembakan senapang. Di luar pula kecoh dengan suara orang ramai yang memberikan amaran supaya lari kerana komunis sedang menyerang.

Dia, ibu dan adik bongsunya berusia dua tahun bergegas melarikan diri lalu mereka bertindak terjun ke kolam ikan di belakang rumah.

Tidak mungkin Tik dapat lupakan saat lembing komunis itu meluncur laju menikam perut dan kemaluan ibunya. Secara tidak langsung tikaman itu turut mengenai adik bongsunya sehingga darah terpercik dengan banyak sekali.

Menurut Tik, dia menyorok di sebalik rimbunan daun keladi yang hanya terletak bersebelahan dengan tempat ibunya dibunuh.

Disebabkan daun-daun itu meninggi, kumpulan komunis itu tidak berjaya mengesani dirinya lantas beredar setelah 20 minit berlalu.

“Kekayaan Tuhan, mereka pun tidak nampak mak cik. Sama-sama dalam kolam air yang sedalam paras pinggang. Itu sebenarnya kolam ikan dan rumput yang macam pelampung itu penuh dan sebab itulah mereka tidak nampak mak cik,” kata Tik.

Kezaliman itu berterusan apabila kakak sulung Tik yang sedang berpantang bertindak melompat dari loteng rumah bersama anak lelakinya berusia empat tahun dan kejadian itu menyebabkan anak saudaranya ditikam dengan lembing.

Detik tragis itu tidak berhenti di situ apabila rumah keluarganya dibakar sehingga menyebabkan abang ipar dan seorang lagi anak saudaranya rentung.

“Bila tengok darah mak mengalir, mereka tunggu. Mereka potong jari mak hanya semata-mata mahukan cincin di jari mak,” sambung Tik.

Tik menambah lagi bahawa ketika tanah air diancam komunis, kumpulan pengganas berbintang tiga itu bertindak merampas senjata di balai-balai polis manakala anggota polis pula dibunuh.

Selain balai polis dibakar, rumah ketua-ketua kampung atau naib ketua kampung juga menjadi sasaran mereka.

Kekejaman komunis terhadap orang Melayu tidak dapat dinafikan sehinggalah orang Melayu bangkit melawan kezaliman mereka yang menyebabkan tercetusnya ‘Peristiwa 14 Hari’.

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca