Ibu, Bapa, Adik Dan Pembantu Alif Satar Juga Disahkan Positif COVID-19

Selepas artis terkenal, Alif Satar disahkan positif COVID-19, ibu, ayah, adik dan pembantu penyanyi berkenaan juga disahkan positif.

Pengurus Alif, Adlina Abu Bakar ketika memaklumkan perkara itu berkata, ibu bapa Alif, Nor Hafiza Muhammed, Mohamed Satar Ramli dan adiknya yang dikenali sebagai Jim menjalani ujian saringan tempoh hari.

Menurut Adlina, isteri Alif, Sha Dila Hadid dan anak-anak mereka iaitu Alisha Anugerah, 5, Ariana Mecca, 3 dan Muhammad ‘Ali, 1, juga sudah menjalani ujian swab hari ini dan sedang menunggu keputusan.

Bagaimanapun, Adlina bersyukur apabila keputusan ujian swab yang diterimanya hari ini negatif selepas melakukan ujian itu kelmarin.

“Alhamdulillah keputusan saya, kumpulan The Locos serta jurutera audio peribadi yang terbabit pada hari pertama separuh akhir Muzik Muzik 35 (SFMM 35) negatif. Namun, sebagai langkah berjaga-jaga kami akan kekal berada di rumah untuk menjalani proses kuarantin selama 14 hari.

“Saya enggan mengambil sebarang risiko dan berharap rantaian wabak ini dapat diputuskan dengan segera. Saya juga berharap rakan-rakan artis, kru produksi serta mana-mana individu yang mempunyai kontak rapat dengan kami juga terhindar daripada wabak ini,” katanya.

Sehubungan itu, Alif Satar memohon peminat-peminatnya agar mendoakan isteri dan tiga orang anaknya bebas daripada jangkitan pandemik COVID-19.

“Terima kasih kepada semua pihak yang tidak putus mendoakan dan memberi sokongan moral. Alif pesan kepada saya dan berharap semua orang mendoakan agar isteri dan anak-anaknya dijauhkan dari COVID-19 sebab mereka baru saja menjalani ujian saringan pagi semalam. 

“Kita sama-sama doakan semoga kesihatan Alif akan segera pulih. Saya meminta jasa baik semua pihak supaya tidak menyebarkan kebencian atau fitnah ketika Alif sedang berdepan ujian,” katanya.

Alif atau nama sebenarnya Muhammad Alif Mohd Satar, 30, kini sedang menerima rawatan di Hospital Melaka. Alif memaklumkan bahawa dia berada dalam keadaan sihat dan menjalani prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh pasukan perubatan.

“Saya baru saja berbual dengan Alif menerusi telefon. Alhamdulillah, dia okey, namun sedang dipantau oleh doktor. Sudah tentu Alif berasa bimbang dengan keadaan isteri dan anak-anaknya yang kini berada di Kuala Lumpur.“Dia sentiasa mengambil tahu perkembangan semasa berhubung isteri dan anak-anaknya,” kata Adlina 

Untuk baca artikel-artikel lain yang berkaitan, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca