Ibadah Haji Pernah Ditutup 40 Kali, Ini Adalah Sebabnya

Dataran Masjidil Haram lengang, sepi dan sayu. Itulah yang ditinggalkan di ruang komen oleh warganet sebaik sahaja melihat gambar Dataran Masjidil Haram kosong dan putih tanpa jemaah yang dikongsikan di sosial media baru-baru ini. Seperti yang kita sedia maklum, kawasan suci itu kebiasaannya dipenuhi dengan ramai jemaah bagi melakukan ibadah tawaf mengelilingi kaabah.

Penutupan ruang dataran Masjidil Haram ditutup seketika untuk menjalankan proses pembersihan bagi membanteras wabak COVID-19. Sebak dan sayu. Tiada lagi jemaah-jemaah yang berebut untuk mencium Hajar Aswad, bersolat di Makam Nabi Ibrahim dan di Hijr Ismail serta berdoa di Multazam.

Makluman lanjut, Kerajaan Arab Saudi telah menyekat visa kemasukan bagi yang ingin menunaikan umrah sejak-sejak akhir ini. Pelbagai persoalan timbul dan antaranya adalah berkaitan status sama ada ibadah haji tahun ini dapat dilaksanakan atau sebaliknya. Dalam pada itu, sebenarnya tidak ramai yang tahu sejarah sebelum ini bahawa ibadah haji yang merupakan rukun Islam ke lima ini pernah tidak dilaksanakan sebanyak 40 kali.

Tahun 930: Qaramithah mencuri hajar aswad

Dipimpin oleh Abu Thahir Al Qaramithi, pimpinan Qaramithat (salah satu puak Syi’ah Ima’iliyah) ini datang ke Makkah bersama pengikutnya pada musim haji. Mereka membunuh jemaah-jemaah haji yang sedang beribadah dan mengambil batu Hajar Aswad. Selepas 22 tahun disimpan di daerah Hajr (Ahsa), batu hajar aswad kembali dipulangkan ke tempat asalnya semula.

Tahun 983: Perselisihan Bani Abbas dan Bani ‘Abid

Lapan tahun muslim dari Iraq dilarang melaksanakan ibadah haji.

Tahun 1257: Penduduk Hijaz dilarang menunaikan ibadah haji

Tiada satu pun jemaah haji yang berasal dari Hijaz hadir ke tanah suci bagi menunaikan ibadah haji.

Tahun 1814: Wabak taun

Seramai 8,000 korban meninggal dunia akibat daripada wabak taun di wilayah Hijaz.

Tahun 1831: Wabak hindi

Pada musim haji tahun ini, timbulnya wabak yang dipercayai berasal dari negara India sehingga menyebabkan tiga per empat jemaah haji meninggal dunia.

Tahun 1837: Epidemik

Bermula pada tahun ini sehingga tahun 1840, ibadah haji tidak ditunaikan kerana sebuah epidemik.

Tahun 1846: Wabak kolera

Wabak kolera tersebar kepada jemaah haji sehingga ibadah haji tidak dapat dijalankan. Ia berlaku pada tahun 1850, 1865 dan 1883.

Tahun 1858: Penduduk Hijaz berpindah ke Mesir

Disebabkan munculnya wabak-wabak penyakit yang agak membahayakan, beberapa orang telah memutuskan untuk berpindah keluar dari Hijaz (daerah di Arab Saudi) ke Mesir. Hal ini kerana di daerah Bi’r Anbar, Mesir, telah dibina sebuah pusat kuarantin bagi menghindari epidemik.

Tahun 1864: 1, 000 jemaah haji meninggal setiap hari

Madinah diserang epidemik sehingga menyebabkan 1,000 para jemaah meninggal dunia pada setiap hari akibat wabak penyakit yang sangat berbahaya. Mesir terpaksa menghantar doktor, selain membina pusat kuarantin di Makkah dan di tengah-tengah perjalanan antara Makkah dan Madinah.

Tahun 1892: Kematian meningkat kerana kolera

Wabak kolera berlaku pada musim Haji pada tahun ini dan mengakibatkan keadaan para jemaah parah sehingga menyebabkan kematian yang ramai. Bilangan kematian meningkat di Arafah dan Mina.

Tahun 1895: Wabak tifoid (demam kepialu)

Pandemik yang serupa dengan demam tifoid atau disentri yang datang daripada kumpulan dari Madinah.

Tahun 1987: Wabak meningitis

Penyakit jenis ini mudah tersebar dengan cepat dan telah menjangkiti 10,000 para jemaah haji.

Pada tahun 2020 ini, marilah kita bersama-sama mendoakan agar wabak COVID-19 pulih dan ibadah haji dapat dijalankan seperti biasa oleh semua para jemaah. Jika berlaku sebaliknya, pasti ada hikmah di setiap apa yang terjadi.

Penulis:

  • Nur Rihhadatul Aisya binti Mohd Nazaruddin adalah pelajar Fakulti Filem, Teater dan Animasi (FiTA) UiTM.
  • Dr. Mohd Syuhaidi Abu Bakar adalah Pensyarah Kanan dan Timbalan Dekan Penyelidikan dan Jaringan Industri (FiTA) UiTM.

Untuk membaca lebih banyak artikel lain, klik pautan di bawah:

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca