“Ia Adalah Detik Paling Buruk Dalam Hidup Saya,” Lelaki Ini Kongsi Pengalaman Dikuarantin Selepas Disahkan Positif COVID-19

*Gambar hanya sekadar hiasan.

Penularan wabak COVID-19 hampir ke seluruh pelosok dunia kini semakin membimbangkan. Hari demi hari, jumlah kes melibatkan jangkitan virus ini terus meningkat termasuklah di Malaysia. Malah, Malaysia kini tersenarai sebagai antara negara tertinggi yang mencatatkan kes positif COVID-19 di rantau Asia Tenggara.

Seorang pemuda yang hanya mahu dikenali sebagai Hamdan di mana dia disahkan positif COVID-19 pada 4 Mac lalu tampil berkongsi pengalaman sewaktu melalui proses kuarantin.

Menurut Hamdan yang kini sudah semakin pulih itu, dia dapat rasakan perbezaan dirinya beransur sihat berbanding sebelum ini semasa dia mula-mula dijangkiti virus berkenaan.

“Alhamdulillah, saya semakin sihat berbanding minggu lalu. Saya baru sahaja menjalani saringan pertama pada Ahad dan menunjukkan keputusan negatif,” cerita Hamdan yang berusia 31 tahun itu kepada portal mStar.

“Petang ini (Selasa) pula, saya akan dapat tahu keputusan saringan kedua, sekiranya negatif, saya akan dibenarkan pulang ke rumah,” ujarnya lagi.

Bercerita soal pengalaman semasa disahkan positif COVID-19, Hamdan menyifatkan ia sebagai pengalaman terburuk yang pernah dia lalu sepanjang kehidupannya.

Pada mulanya, Hamdan mengalami demam dan kesukaran untuk bernafas serta batuk tanpa sebarang kahak. Walau bagaimanapun, dia cuma mengambil Panadol kerana menganggap ia hanya sekadar sakit biasa. Namun begitu, dia akhirnya mengambil keputusan untuk pergi ke hospital selepas keadaan dirinya menjadi semakin teruk.

“Saya mengalami demam dengan suhu yang agak tinggi iaitu 38.2 darjah Celsius dan kesukaran untuk bernafas terutamanya ketika saya menarik nafas panjang,” kata Hamdan yang sudah sembilan hari dikuarantin di hospital.

“Saya juga mengalami batuk yang sangat teruk dan tidak berhenti tetapi hanya batuk kering yang tidak berkahak.”

“Semasa tiba di hospital, saya menjalani ujian swab hidung (nasal swab) dan doktor mendapati saya positif wabak tersebut,” ujarnya lagi.

Cerita Hamdan, pada mulanya dia dimasukkan ke Hospital Tuanku Ja’afar, Seremban sebelum dipindahkan ke Hospital Rembau pada dua hari lepas sebaik sahaja dirinya menunjukkan pengurangan simptom COVID-19.

Bercerita lebih lanjut bagaimana dia boleh dijangkiti virus tersebut, Hamdan mengatakan bahawa dia berjangkit daripada bapanya sendiri.

“Baru-baru ini, ayah saya menghadiri sebuah mesyuarat bersama kakitangan GLC (Syarikat Berkaitan Kerajaan) dan menyebabkan dia dan ibu saya positif COVID-19.”

“Namun, mereka langsung tidak menunjukkan tanda-tanda sakit malah sihat seperti biasa. Mereka kini bersama saya dikuarantin di Hospital Rembau, bezanya mereka sudah 15 hari dikuarantin manakala saya pula sembilan hari,” jelas Hamdan yang memberitahu mereka tidak pernah berjumpa selepas duduk di bilik berasingan.

Dalam pada itu, Hamdan ingin menzahirkan ucapan terima kasih buat doktor dan jururawat di kedua-dua hospital yang bekerja keras dan tidak mengenal erti putus asa dalam merawat para pesakit.

“Layanan yang diberikan oleh mereka sangat bagus terutamanya ketika permulaan saya dijangkiti COVID-19.”

“Mujur saya dibenarkan untuk menggunakan telefon, kalau tak memang tak tahu nak buat apa semasa kuarantin itu.”

“Setiap hari saya diberikan nasi, sayur dan ayam. Pada malam pula jururawat akan beri saya makan buah-buahan bagi menguatkan antibodi badan. Ubat-ubatan pula saya diberikan ubat batuk, antibiotik dan ubat HIV,” ujar Hamdan yang memberitahu rawatan COVID-19 yang diterimanya adalah sama seperti diguna pakai untuk Sindrom Penafasan Akut Teruk (SARS).

Sementara itu, Hamdan turut menasihatkan orang ramai supaya patuh dengan perintah yang dikeluarkan oleh kerajaan bagi membendung penularan wabak COVID-19 yang kian membimbangkan.

“Saya tengok di media sosial semalam ramai yang buat¬†panic buying, mereka tak tahu risiko pergi ke tempat yang ada orang ramai di mana mereka berisiko tinggi untuk berjangkit.”

“Wabak ini kita tak tahu siapa yang sihat atau siapa yang tidak sihat, sebab tidak ada label untuk tahu orang itu sihat atau tidak,” katanya.

Apa-apa pun, team Lejen Digital mendoakan agar Hamdan dan keluarga serta semua yang dijangkiti wabak COVID-19 akan pulih seperti biasa.

Untuk baca artikel lain berkenaan penularan wabak COVID-19, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca